Selepas 40 tahun, akhirnya kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditutup selepas pihak polis berjaya mengenal pasti identiti individu yang melakukan jenayah tersebut.
Kes pembunuhan 40 tahun lalu
Mangsa yang dikenali sebagai Anne Pham dilaporkan hilang ketika berjalan ke tadika di Seaside, California pada 21 Januari 1982. Ketika itu, Anne Pham baru berusia lima tahun dan dia merupakan anak pelarian Vietnam yang melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) selepas kejatuhan Saigon pada 1975. Anne adalah pelajar di Highland Elementary School di Seaside, California manakala Lanoue berusia 29 tahun ketika itu, ditempatkan di Fort Ord sebagai askar.
Mayat mangsa ditemukan dua hari kemudian di Fort Ord iaitu bekas pangkalan tentera AS dan taman negara. Pihak berkuasa yakin kanak-kanak malang itu telah diculik, diserang secara seksual dan dicekik hingga mati. Meskipun siasatan sudah dibuat namun tiada sebarang tangkapan dibuat. Lama-kelamaan kes itu seakan dilupakan.
Suspek dipenjara 20 tahun
Sekitar tahun 2020, satu pasukan khas dari Pejabat Peguam Daerah Monterey County bekerjasama dengan polis tempatan untuk membuka semula kes pembunuhan Anne Pham. Susulan daripada itu, satu ujian DNA telah diperkenalkan dan digunakan dalam siasatan kes. Difahamkan, ujian DNA tersebut merupakan ujian baharu yang tidak tersedia semasa siasatan sebelum ini.
Keputusan ujian tersebut akhirnya membawa pihak berkuasa mengenal pasti identiti suspek iaitu Robert Lanoue. Polis dan penyiasat California kemudian memperoleh waran untuk menahan suspek pada 6 Julai lalu. Lanoue yang merupakan pesalah seks berdaftar kini berada di penjara kerana disabitkan atas kesalahan melakukan kelucahan terhadap kanak-kanak bawah umur dan memiliki pornografi kanak-kanak.
Suspek yang kini berusia 70 tahun sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun di Nevada.
Sumber: Daily Star