berita

Celup Tangan Anak Majikan Macam Yong Tau Fu, Amah Kejam Dikantoikan CCTV

January 22nd, 2020 | by faris
Kini Trending

Berita kekejaman amah kerap kali dilaporkan di media. Perkara ini membuatkan ada ibu yang fobia meninggalkan anak bersama amah sehingga sanggup berhenti kerja untuk fokus kepada penjagaan anak masing-masing. Seorang ibu di Singapura menempuh detik sukar apabila amahnya bertindak di luar kemanusiaan ke atas anaknya.

Kantoi CCTV

Ibu bayi malang itu, Amy Low Mei Liang berkongsi video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam perbuatan tidak berhati perut amahnya di dapur. Video berdurasi 40 saat itu menunjukkan wanita terbabit sedang memasak dan kemudian kelihatan mendekatkan anak kecil didukungnya dan dikatakan mencelup tangan bayi itu dalam periuk di atas dapur.

Perbuatan amah itu menyebabkan bayi 16 bulan berkenaan melecur teruk. Menurut Amy, amah itu berbuat demikian setelah permintaannya untuk balik ke rumah tidak diendahkan.

Dakwa kemalangan

Dalam kejadian 14 Januari itu, anak Amy berusia 8 tahun menelefon suaminya dan menceritakan adiknya melecur. Bayi berkenaan dikejarkan ke klinik namun doktor memaklumkan kesan terbakar terlalu serius dan merujuk kes itu ke sebuah hospital berhampiran.

Amah yang menjaga kedua-dua anak Amy itu mendakwa dia sedang memasak sebelum bayi yang didukungnya menyentuh periuk di atas dapur. Dakwa amah itu lagi, perkara itu adalah satu kemalangan.

Pembantu rumah itu tetap menegaskan dia tidak patut dipersalahkan dalam hal itu, namun bertindak mengemas barangnya dan bersedia untuk ke agensi tempat dia digaji.

Portal mothership melaporkan amah berkenaan telah diberkas pihak polis negara itu pada 15 Januari jam 10.50 pagi. Siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: Mothership, Amy Low Mei Liang

The following two tabs change content below.