Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun didakwa membunuh adik perempuannya yang baru lahir dengan mencampakkan bayi itu keluar dari tingkap kediaman mereka.

Angkara cemburu

Memetik laporan The Sun, kejadian tragis di Vasilyevo, Rusia ini berlaku ketika dua beradik itu ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa. 

Menurut laporan, ibu kepada kanak-kanak berkenaan dikatakan meninggalkan mereka di rumah untuk menziarahi seorang rakan, sementara bapa mereka pula tiada di rumah kerana sedang bekerja.

Orang ramai yang melalui kawasan kediaman itu terdengar jeritan seorang kanak-kanak dari tingkap di tingkat empat, pada ketinggian kira-kira 40 kaki. Tidak lama kemudian, mereka menyedari tubuh bayi berusia 21 hari itu terbaring kaku di atas tanah.

Paramedik yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan hasil awal mendapati, tindakan kanak-kanak berusia lima tahun itu berpunca daripada rasa ‘cemburu’ terhadap kehadiran adiknya yang baru lahir.

Susulan kejadian itu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan berkemungkinan berdepan hukuman penjara atas faktor kecuaian.

Sumber: The Sun