Mi segera sering menjadi pilihan mudah ketika lapar terutama kerana harganya murah dan penyediaannya yang pantas. Namun di sebalik kesenangan itu, mi segera sebenarnya membawa pelbagai risiko kesihatan jika diambil secara kerap. 

Artikel Berkaitan: Manfaat Kacang Bendi Untuk Kesihatan Ibu Hamil & Bayi Dalam Kandungan

Artikel Berkaitan: Kebaikan Senaman Pilates Untuk Tubuh & Minda

Kandungan mi segera

Memetik laporan Neuroversiti, kajian menunjukkan bahawa makanan ini mempunyai lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Mi segera mengandungi pelbagai bahan tambahan seperti kalsium sulfat, asid tartarik dan kalsium oksida iaitu bahan yang biasanya digunakan dalam industri seperti pembuatan cermin, racun serangga dan proses rawatan sisa. 

Selain itu, bahan seperti TBHQ yang berasal daripada petroleum dan sejenis butane serta BHT yang dikaitkan dengan risiko karsinogen dan kerosakan ginjal turut digunakan untuk memastikan mi tahan lebih lama.

Sesetengah aditif seperti propyl gallate pula berfungsi seperti hormon sintetik yang boleh mengganggu sistem pembiakan, perkembangan janin dan penghasilan sperma.

Tidak cukup dengan itu, mi segera juga mengandungi pentasodium triphosphate yang lazim digunakan dalam bahan pencuci berat, pembuatan kertas dan industri lombong.

Propylene glycol, bahan pelarut sintetik yang digunakan dalam antibeku automotif ditambah bagi mengekalkan kelembapan mi dan menghalang ia daripada mengering. Bahan ini mudah diserap tubuh dan boleh terkumpul dalam buah pinggang, jantung atau hati hingga menyebabkan kerosakan organ jika diambil berlebihan. 

Bahan lain seperti polydimethylsiloxane yang digunakan dalam syampu, minyak pelincir dan kanta sentuh, serta pewarna tiruan seperti Sunset Yellow dan Tartrazine yang boleh menyebabkan hiperaktiviti dan gangguan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

Bahaya mi segera

Kandungan sodium yang terlalu tinggi dalam mi segera juga menambah risiko kesihatan. Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah terutama bagi mereka yang sensitif terhadap sodium.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang mengurangkan pengambilan garam mempunyai kesihatan jantung yang lebih baik berbanding mereka yang mengambil sodium secara tidak terkawal.

Wanita hamil dan ibu menyusu pula sangat digalakkan mengelakkan mi segera kerana kandungan kimia dan bahan pengawetnya boleh memberi kesan kepada perkembangan janin serta bayi yang menyusu. 

Sesetengah bahan boleh mengganggu kestabilan hormon dan mengakibatkan komplikasi pada kandungan. Malah, mi segera juga dikaitkan dengan gangguan hormon estrogen akibat kewujudan bahan seperti BPA dalam plastik pembungkusannya, yang boleh mengacau kitaran haid wanita dan menurunkan hormon seks lelaki.

Selain itu, mi segera juga sarat dengan MSG, penambah rasa yang boleh mencetuskan sakit kepala teruk, migrain dan kematian sel otak matang dalam beberapa kajian.

Individu yang sensitif terhadap MSG berisiko mengalami kebas, kekejangan otot dan masalah saraf lain selepas mengambil mi segera.

Kandungan lemak tinggi

Pengambilan mi segera secara kerap turut dikaitkan dengan kenaikan berat badan yang cepat. Kandungan lemak tinggi, natrium yang berlebihan serta bahan kimia tertentu menyebabkan pengekalan air dalam badan dan mengganggu sistem metabolisme.

Risiko obesiti meningkat seterusnya membuka ruang kepada diabetes, masalah sistem imun, gangguan memori dan pengecilan bahagian tertentu otak seperti orbitofrontal cortex yang berkaitan dengan kawalan impuls dan membuat keputusan.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun pula sangat terdedah kepada kesan buruk mi segera. Makanan ini mengganggu penyerapan nutrien, menyebabkan kekurangan zat, masalah tumbesaran dan malnutrisi.

Menurut pakar UNICEF, mi segera hanya memberikan karbohidrat tanpa vitamin, mineral atau serat yang menyokong perkembangan otak dan tubuh anak kecil.

Lebih membimbangkan, mi segera mengambil masa yang lama untuk dicerna. Dalam sesetengah kes, ia boleh berada dalam usus sehingga beberapa hari, menyebabkan sembelit, iritasi usus dan membunuh bakteria baik yang diperlukan untuk pencernaan sihat.

Gabungan pewarna, pengawet dan bahan kimia seperti propylene glycol turut menurunkan tahap imun badan dan menjejaskan sistem metabolisme secara keseluruhan.

Kesimpulannya, walaupun mi segera enak dan mudah, kandungan bahan kimianya yang tinggi menjadikannya salah satu makanan yang tidak sesuai untuk dijadikan amalan harian.

Sumber: Neuroversiti