
Perceraian sering dikaitkan dengan konflik, perebutan hak penjagaan dan hubungan yang berakhir dengan permusuhan. Namun, tidak semua bekas pasangan memilih jalan tersebut.
Meskipun rumah tangga tidak dapat dipertahankan, beberapa selebriti tempatan membuktikan bahawa tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tidak pernah terhenti. Mereka mengetepikan ego, menjaga komunikasi dan tetap hadir dalam kehidupan anak-anak.
Artikel Berkaitan: Momen Fattah Amin & Fazura Bersama Fatima Di Sekolah Raih Perhatian Netizen
Artikel Berkaitan: Engku Emran Kongsi Momen Berharga Aleesya Tamat Pengajian Sekolah Menengah – ‘Cantik Macam Ayah, Pandai Macam Mak’
Ketepikan ego demi anak-anak
1. Erra Fazira dan Engku Emran
Primadona Malaysia, Erra Fazira dan Engku Emran sering dijadikan contoh dalam soal membesarkan anak selepas perceraian.
Walaupun berpisah pada 2014, kedua-duanya tetap bekerjasama dalam memastikan anak tunggal mereka, Engku Aleesya, menerima perhatian dan kasih sayang daripada kedua-dua belah pihak.
Erra pernah menjelaskan dia tidak mahu Aleesya kehilangan kasih sayang ibu atau bapa. Atas sebab itu, dia dan Engku Emran memilih untuk bertolak ansur serta mengetepikan ego dalam urusan membesarkan anak.
Usaha mereka turut mendapat perhatian selepas Aleesya memperoleh keputusan 7A dalam peperiksaan IGCSE.
2. Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila
Hubungan pelakon, Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila selepas bercerai sering menerima pujian ramai.
Walaupun pernah berdepan kemelut rumah tangga, kedua-duanya memilih untuk berdamai dan memberikan tumpuan kepada anak mereka, Jebat Jayden.
Mereka juga tidak kekok meluangkan masa bersama bagi meraikan hari istimewa Jebat.
Sharnaaz pernah menegaskan meskipun gagal mempertahankan perkahwinan, dia mahu melakukan yang terbaik dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Noor Nabila pula mengakui proses untuk kembali berkomunikasi bukan mudah. Namun, rasa marah dan dendam perlu diketepikan supaya kepentingan serta emosi anak tidak menjadi mangsa keadaan.
3. Emma Maembong dan Muhammad Shazli Azhar
Pelakon, Emma Maembong dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, membuktikan perceraian tidak semestinya memutuskan hubungan sebagai sebuah keluarga. Selepas mengesahkan mereka berpisah secara baik pada 2024, Emma menjelaskan kebajikan dan kestabilan emosi anak-anak tetap menjadi keutamaan mereka.
Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah. Meskipun tidak lagi bergelar suami isteri, Emma dan Shazli masih dilihat meluangkan masa bersama anak-anak serta hadir sebagai ibu dan bapa dalam momen penting keluarga.
Malah, Emma turut menyabut Aidilfitri bersama bekas suaminya supaya anak-anak dapat beraya dalam keluarga lengkap. Baginya, perpisahan orang dewasa tidak seharusnya menyebabkan anak-anak kehilangan kenangan bersama ibu dan bapa.
4. Yasmin Hani dan Sha’arin Razali
Pelakon, Yasmin Hani dan bekas suaminya, Sha’arin Razali, menunjukkan hubungan baik selepas perceraian tidak bermaksud mereka tidak pernah berselisih faham.
Menurut Yasmin, perbalahan tetap berlaku, termasuk situasi menyekat komunikasi antara satu sama lain. Namun, mereka tetap perlu kembali berbincang kerana mempunyai tanggungjawab bersama terhadap anak-anak.
Kedua-duanya berkomunikasi hampir setiap hari bagi menyusun jadual sekolah, kelas tambahan, aktiviti sukan dan keperluan anak. Mereka turut menggunakan kalendar bagi memastikan setiap urusan lebih teratur.
Bagi Yasmin, hubungan sebagai suami isteri mungkin sudah berakhir, tetapi kerjasama sebagai ibu dan bapa perlu diteruskan.
5. Fattah Amin dan Nur Fazura
Perceraian pelakon, Fattah Amin dan Nur Fazura pada 7 Oktober 2024 menjadi antara perpisahan selebriti yang paling mendapat perhatian. Di sebalik segala yang berlaku, kedua-duanya masih berkongsi satu tanggungjawab besar, iaitu membesarkan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
Pada November 2024, Fattah dan Fazura mencapai persetujuan berhubung hak penjagaan Fatima. Hak penjagaan penuh diberikan kepada Fazura, manakala Fattah memperoleh hak lawatan tiga kali seminggu serta hak bermalam sebanyak dua kali sebulan.
Fattah juga pernah menegaskan hubungannya dengan Fatima, Fazura dan keluarga bekas isterinya berada dalam keadaan baik serta meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang boleh mencetuskan kebencian.
Terbaharu, kedua-duanya mencuri perhatian apabila hadir bersama pada sambutan Hari Kebudayaan di sekolah Fatima. Kehadiran Fattah dan Fazura nyata memberikan kegembiraan kepada Fatima yang berpeluang membuat persembahan serta menunjukkan hasil kraftangannya kepada kedua-dua ibu bapanya.
Fatima turut berkongsi rasa teruja kerana dapat mencipta kenangan bersama “mommy” dan “daddy” pada hari istimewa tersebut. Malah, dia menyediakan sandwic untuk Fazura dan yogurt buah-buahan untuk Fattah sebagai tanda penghargaan.








