Foto: Tribun Medan
Gara-gara enggan terima kenyataan cinta ditolak, seorang pemuda berusia 25 tahun tergamak menjerut leher seorang gadis sehingga mati. Lebih kejam apabila suspek kemudian membuang mayat mangsa di dalam perigi di kawasan kebun jagung di Sumatera Utara, Indonesia.
Mayat dalam perigi
Foto: Media Online Jurnal X
Memetik laporan Medan Tribunnews, ketika ditemui, mangsa masih berpakaian seragam sekolah selain mayatnya sudah tenggelam dan hanya kelihatan kaki mangsa sahaja. Tubuh badan mangsa juga sudah ditutupi dengan dedaun dan ranting pokok. Setelah mayat dibawa keluar, mereka melihat wajah mangsa membengkak selain tubuh badannya seakan mengecut kerana terlalu lama berada di dalam air.
Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang sejak tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada Khamis lalu (14 Disember). Bapa mangsa juga dikatakan sudah berusaha mencari anaknya namun gagal ditemui. Penemuan mayat mangsa, Lidya Patmos Sitinjak,17, akhirnya membawa kepada penahanan seorang pemuda iaitu Rizky Lewat. Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana berang diejek cacat dan sumbing.
Berang cinta ditolak, diejek sumbing
Foto: Tribun Medan
Menurut pihak berkuasa, suspek juga enggan menerima kenyataan bahawa cintanya ditolak oleh mangsa hanya kerana bibirnya yang sumbing. Mangsa dan suspek dipercayai berkenalan di media sosial sejak dua minggu lalu dan tidak lama selepas itu, mereka akhirnya bersetuju untuk berjumpa. Suspek kemudian menjemput mangsa di rumah rakannya dan terus menuju ke sebuah ladang jagung dengan menaiki motosikal milik suspek.
Setibanya di lokasi, suspek bertanya kepada mangsa tentang hasratnya untuk menjadikan mangsa sebagai kekasih, tetapi mangsa menolak dengan alasan rupa paras suspek yang cacat dan sumbing. Berang dengan ejekan tersebut, suspek mengeluarkan tali di jaketnya lalu menjerut mangsa selama 10 minit sehingga sudah tidak bernyawa.
Suspek kemudian membuang mayat mangsa ke dalam perigi sebelum beredar dari lokasi kejadian. Suspek juga sempat mengambil telefon bimbit dan beg milik mangsa dan membuangnya ke dalam sungai.
Sumber: Telisik id, Medan Tribunnews