berita

Cinta Lama Kembali Berputik, Mampukah Aiman Hakim Tawan Kembali Hati Hannah Delisha Dalam 28 Hari Mencari Cinta

January 4th, 2022 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Drama bersiri terbaru, 28 Hari Mencari Cinta yang menghiasi slot Lestary TV3 telah ditayangkan sejak 23 Disember lalu, pada setiap hari Rabu hingga Sabtu jam 9.00 malam. Drama bersiri romantik diterbitkan oleh Orangetree Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Ng Ken Kin ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aiman Hakim Ridza, Hannah Delisha, Ameerul Asyraf serta ramai lagi.

Faisal bercita-cita ingin melebarkan sayapnya

Drama bersini 15 episod ini mengisahkan mengenai Faisal (Aiman Hakim Ridza) memiliki podcast sendiri dan bercita-cita ingin melebarkan sayapnya ke luar negara bagi menguji kebolehannya sebagai penyampai radio.

Bagi Faisal, apa yang dicari adalah kebahagiaan dan kejayaan dalam hidupnya. Namun, satu perkara yang Faisal tidak boleh lupakan ialah cinta pertamanya dengan Saleha (Hannah Delisha) yang mempunyai ciri-ciri gadis yang diinginkan. Faisal tidak tahu kenapa mereka berpisah secara tiba-tiba. Saleha telah meninggalkan dia tanpa sebab dan tidak dapat dijejaki sehingga kini.

Saleha pula meneruskan kehidupannya sebagai perancang kewangan di sebuah syarikat swasta kerana tidak berminat untuk bekerja di syarikat milik ayahnya, Encik Rahmat. Dia ingin berdikari dan tidak mahu mengharapkan kesenangan hidup yang diberikan oleh ayahnya.

Akhirnya, Saleha bertunang dengan Danial (Ameerul Asyraf) atas kehendak Encik Rahmat, namun dia tidak menyukai sikap Danial yang suka berfoya-foya.

Saleha beri Faisal peluang 28 hari untuk mencari cinta

Dalam keadaan itu, Saleha teringat pada Faisal, cinta pertamanya yang dianggap sebagai seorang lelaki dungu yang selalu membuat kesilapan malah sering kali mengulanginya. Lelaki itu jugalah telah mengunci hatinya untuk mencintai dan mengharapkan agar satu hari nanti takdir akan menemukan mereka berdua.

Podcast Faisal yang diberikan nama Love Barista membincangkan tentang kisah cinta, memberi petua untuk mencari cinta dan juga menyelesaikan masalah cinta. Takdir menemukan kembali Faisal dan Saleha. Dalam masa yang sama, Faisal mendapat tawaran kerja sebagai DJ di Australia selama 28 Hari. Di sinilah bermula syarat yang diberikan oleh Saleha kepada Faisal iaitu 28 hari mencari cinta untuk kembali berkasih. Faisal perlu mencari kesilapan dia dalam hubungan mereka dulu dalam tempoh 28 hari sahaja.

Bagaimana pula dengan Airin yang menagihkan cinta daripada Faisal? Apakah bakal berlaku dengan hubungan Saleha dan tunangnya Danial? Adakah Faisal dan Saleha boleh kembali bahagia bersama?

Jangan lupa saksikan 28 Hari Mencari Cinta setiap Rabu hingga Sabtu jam 9.00 malam hanya di TV3 atau strim secara langsung di www.tonton.com.my.

SKIP THIS AD ×