Coastal Combat 2026 memperkenalkan acara baharu dalam sukan tempur dengan menampilkan program realiti Muay Thai yang eksklusif dan memberikan pengalaman lebih dinamik serta mengujakan.

Artikel Berkaitan: Private: ‘Sudah-Sudahlah Memalukan Sukan Muay Thai, Gimmick Sampah’ – Jojo Ghazali

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Atlet Tinju Indonesia Menangis Syukur, Selamat Merisik Jaguh Muay Thai Negara – ‘She Said Yes’

Evolusi Muay Thai

Acara yang bakal diadakan pada 23 hingga 24 Januari 2026 di Desaru Coast, Johor ini akan menyaksikan kehadiran petarung Muay Thai elit dari dalam dan luar negara, serta diserikan lagi dengan penyertaan ikon seni bela diri Malaysia, iaitu Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan.

Selain beraksi di gelanggang, Jihin juga kembali menonjolkan disiplin asal yang mencorakkan kerjayanya, dia turut menjadi salah seorang peserta utama dalam program realiti Muay Thai pertama seumpamanya di Malaysia.

Walaupun kini Jihin terkenal sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA), dia sudah memulakan kariernya dalam Muay Thai dengan mewakili negeri Johor di Sukan Malaysia (SUKMA) dan meraih pingat sebelum meniti laluan ke arena profesional MMA.

Nor Afandi Nor Hosni dari Boxxtomoi Asia selaku penganjur Coastal Combat, menyatakan bahawa mereka komited dalam memperkenalkan Muay Thai ke era baharu melalui format inovatif yang menggabungkan elemen sukan, penceritaan naratif, serta promosi destinasi pelancongan.

Ia sesuatu yang belum pernah diimplementasikan di negara ini.

Penonton bukan sahaja dapat melihat atlet bersaing, mereka juga akan mengikuti perjalanan peribadi, disiplin peserta dan pengalaman budaya di Pantai Desaru.

Inilah evolusi Muay Thai, sebuah produk hiburan dengan nilai sukan sebenar, sekali gus turut memberi impak ekonomi kepada Johor.

Kami meletakkan penanda aras baharu kepada pelancongan sukan dan berhasrat untuk memajukan industri ini.

Menilai kekuatan fizikal

Sebagai sebahagian daripada Coastal Combat 2026, sebuah program realiti Muay Thai berformat pasukan diperkenalkan dengan menampilkan seramai 10 peserta dari Malaysia dan 10 peserta lagi dari peringkat antarabangsa, yang akan bersaing dalam aksi penuh strategi dan ketegangan.

Program realiti ini dirakam sepenuhnya di lokasi yang cukup eksklusif dan menawarkan pengalaman serta visual yang setaraf dengan antarabangsa.

Kandungan bagi program ini juga merangkumi pelbagai tugasan ekstrem yang menilai kekuatan fizikal, kemahiran teknikal, strategi dan kerja berpasukan, serta kreativiti peserta dalam menempuh cabaran.

Program ini akan ditayangkan secara dalam talian di YouTube, dengan jangkaan menarik perhatian sehingga 300,000 penonton.

Coastal Combat 2026 menampilkan barisan atlet wanita Malaysia yang hebat, dipimpin oleh ikon seni bela diri Malaysia dan turut disokong oleh kehadiran Nur Amisha, Eycah, Krystal Angel, serta Nur Afifah.

Dalam aksi yang dijangka mencuri tumpuan edisi kali ini, Jihin akan bertarung dalam menentang petarung dari Indonesia, iaitu Ade Mutia dari Kalimantan, dan pastinya menjanjikan pertarungan penuh sengit.

Pasukan petarung wanita Malaysia akan berhadapan dengan atlet wanita antarabangsa, termasuk pesaing dari Amerika Syarikat, Perancis, dan Indonesia, serta juara Eropah, iaitu Cindy Silvestre.

Konsep Malaysia vs Antarabangsa direka khas bagi menambahkan lagi elemen dramatik, kompetitif, dan intensif sepanjang perjalanan rancangan realiti ini.

Penyertaan Jihin dan Nur Amisha bersama barisan atlet wanita Malaysia mencipta identiti baharu dalam sukan kombat negara.

Ini adalah pasukan wanita Malaysia paling kuat pernah disusun di negara ini.

Program realiti ini bukan hanya sekadar pertandingan sukan, tetapi ia juga menandakan satu tahap baharu dalam menggabungkan sukan kompetitif, hiburan, dan promosi pelancongan di rantau ini.

Inisiatif ini selaras dengan Tahun Melawat Johor 2026, menjadikan negeri ini sebagai pusat utama bagi pelancongan sukan dan acara bertaraf antarabangsa.