berita

COVID-19: Hanya Pakai ‘Mask’ Jika Anda Tidak Sihat

March 16th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Penularan wabak COVID-19 sehingga hari ini telah melaporkan 162,711 kes dengan melibatkan 150 buah negara. Kematian di luar negara China iaitu Itali hampir mencecah 2,000 dan di Sepanyol pula kematian meningkat ketara menghampiri 300 orang.

Ekoran wabak yang semakin serius, rata-rata rakyat Malaysia panik dan bertindak membeli topeng muka sehingga menyebabkan kehabisan stok di kebanyakan farmasi. Namun bagaimanapun, beberapa pakar kesihatan mengatakan tiada keperluan untuk individu sihat memakai topeng muka di tempat awam. Penggunaan mask hanya perlu kepada individu yang tidak sihat.

Tiada keperluan untuk orang sihat

Memetik laporan BH Online, Pakar Penyakit Berjangkit iaitu Datuk Dr Christopher Lee menyifatkan masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyimpan bekalan topeng (mask) bagi kegunaan pekerja kesihatan yang lebih memerlukan.

Hanya pakai topeng penutup hidung dan mulut jika anda tidak sihat dan terpaksa keluar ke tempat awam bagi meminimumkan risiko kepada individu lain tetapi jika anda boleh hanya duduk di rumah, itu lebih baik.

Selain itu, saya rasa tiada keperluan untuk orang awam yang sihat untuk menggunakan topeng penutup hidung dan mulut kecuali jika mereka menjaga ahli keluarga yang tidak sihat di rumah.

Seeloknya bekalan topeng penutup hidung dan mulut itu diperuntukkan kepada pekerja kesihatan yang lebih memerlukan, bagi mereka yang sihat, cuba jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter atau hindari tempat yang ramai orang.

Jangan kerap menyentuh muka

Dr Christopher menyarankan agar orang ramai menjaga kebersihan tangan adalah lebih penting dan boleh mencegah dengan menggunakan air dan sabun yang disifatkan lebih baik selain cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

Basuh tangan dengan air dan sabun adalah keutamaan namun boleh juga menggunakan cecair pembasmi kuman, selain itu jangan kerap menyentuh muka terutama mata, hidung dan mulut dengan tangan tidak bersih.

Penjara sosial di tempat awam

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia iaitu Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berpendapat kaedah yang terbaik adalah penjarakan sosial di tempat awam sekurang-kurangnya satu meter dari individu lain termasuk ketika beratur.

Selain itu, penggunaan topeng yang sesuai digunakan pesakit ialah jenis topeng pembedahan dan pastikan ia tidak diguna pakai semula dan dibuang di tempat yang tertutup bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Orang ramai juga diminta untuk menjaga kebersihan diri kerana ia boleh mengurangkan jangkitan penyakit berjangkit seperti basuh tangan dengan sabun secara kerap atau setiap kali menyentuh permukaan seperti tombol pintu dan pam minyak.

Topeng muka adalah barang kawalan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna iaitu Datuk Rosol Wahid pula berkata isu mengenai kekurangan mask akan dibincangkan di mesyuarat kabinet pada hari Rabu ini.

Dia turut mengakui pembelian panik menjadi punca utama kekurangan bekalan topeng. Malah, siasatan dilakukan pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada aktiviti menyorok topeng untuk menaikkan harga oleh pemborong dan peniaga barangan.

Pegawai dan anggota KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan serta pemantauan, tindakan akan dilakukan jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga bahan itu.

Kerajaan sudah mengisytiharkan bahawa topeng muka adalah barang kawalan dan tindakan menaikkan harga boleh dikenakan tindakan.

Sumber: BH Online, Kementerian Kesihatan Malaysia

SKIP THIS AD ×