Power vocal! Itulah gelaran yang selayaknya diberikan kepada penyanyi dan komposer Aina Abdul selepas berjaya melakar sejarah menerusi konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul 3.0’ (ANWAA 3.0), baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Che Ta & Ziana Zain Jawab Tuduhan Dapat Tiket Percuma Pergi Konsert Aina Abdul – ‘Eh Come On Lah! Saya Tak Harap Free’
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Berhabis RM400k Untuk 5 Busana Mewah Di Konsert A Night With Aina Abdul 3.0, Paling Mega Gaun Biru Berasap!
Momen menarik ANWAA 3.0
Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berjaya memukau hampir 10,000 penonton yang hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil sekali gus mencipta satu lagi rekod baharu dalam persada seni tanah air.
Bayangkan, peminat yang hadir sampai tidak sedar masa sudah berlalu hampir dua jam dek terbuai dengan alunan suara anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
OhBulan! berkesempatan menjadi saksi kepada satu lagi kejayaan dalam kerjaya seni Aina, jom kami kongsikan kepada anda 10 momen menarik yang tidak dapat dilupakan.
#1. Ainations ikut tema
Pintu dewan Axiata Arena dibuka seawal jam 6 petang lagi dan dapat dilihat peminat sudah pun hadir bagi mengambil tempat duduk bagi mengelak kesesakan. Malah paling mencuri tumpuan, peminat hadir mengikut tema konsert iaitu ‘Aina Abdul’.
Ternyata peminat setia Aina yang dikenali sebagai Aination tidak melepaskan peluang untuk meniru gaya fesyen penyanyi kesayangan mereka pada malam tersebut. Ada yang berkonsep awan, ada yang berbulu, ada yang mengenakan gaun labuh dan kembang serta banyak lagi. Memang all out Ainations!
#2. Throwback
Sebelum menyampaikan lagu pertama, peminat telah dihidangkan dengan paparan skrin yang meramkan detik-detik kejayaan yang pernah dilakar Aina sama ada dalam atau luar negara menerusi program dan pertandingan yang pernah disertai.
Malah, momen sewaktu konsert A Nigh With Aina Abdul dan A Night With Aina Abdul 2.0 turut ditayangkan semula sekali gus mengimbau semula kenangan kejayaan konsert tersebut.
#3. 34 buah lagu
Tirai konsert dibuka dengan lagu berentak rancak berbahasa Inggeris berjudul ‘Ghost’ sekali gus memecah keheningan suasana dewan. Peminat terus bersorak kuat seakan naik syeikh bagai dirasuk ‘ghost’!
Aina menyampaikan sebanyak 34 lagu secara keseluruhan termasuk lagu hits yang berjaya menaikkan namanya iaitu Sumpah, Semalam, Sepi dan beberapa lagu lain.
Turut tidak terlepas, beberapa lagu baharu dari album sulungnya, Imaji iaitu Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kejam dan banyak lagi.
#4. Ada 4 segmen
Aina bijak menyusun atur pengisian konsert ANWAA 3.0 apabila dia membahagikan kepada empat segmen. Segmen pertama lebih tertumpu kepada lagu bahasa Inggeris seperti Shadow, Ghost, Fool, Blue dan Bleed.
Manakala segmen kedua, terselah sisi hebat Aina menyampaikan lagu power ballad seperti Bilang, Sepi, Sesal, Nada Kalbu dan lain-lain.
Memasuki segmen ketiga, Aina menampilkan sisi lain dirinya dengan membawakan lagu berentak tradisional seperti Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara. Pada segmen ini juga, Aina turut menyampaikan empat buah lagu Korea yang dipernah dijadikan cover sebelum ini.
Segmen terakhir pula, Aina kembali menyanyikan lagu ballad seperti Terus Hidup, Semalam dan beberapa lagi.
#5. Artis undangan
Bukan satu, bukan dua tapi tiga orang penyanyi undangan dibawakan khas oleh Aina pada konsert tersebut iaitu Khai Bahar, Lah Ahmad dan Haziq Rosebi.
Aina bersama Khai mendendangkan lagu Nafas Cinta, bersama Haziq menerusi lagu Joget Cinta Sakti dan Lemak Manis, manakala bersama Lah Ahmad menerusi lagu Tunggu Kamu.
#6. Dedikasi Sharifah Aini
Malam gemilang itu turut menyaksikan Aina mendedikasikan segmen istimewa buat legenda tersohor tanah air yang turut diangkat sebagai Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Aina mempersembahkan tiga lagu popular Allahyarham iaitu Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara. Aina berkata dia menjadikan arwah sebagai salah seorang idola dan sumber inspirasi dirinya dalam arena seni.
#7. Fesyen mega!
Dalam pada itu, keberanian Aina dalam berfesyen tidak perlu disangkal lagi. Pemilik trofi vokal terbaik di AJL selama dua tahun berturut-turut itu dilihat sentiasa memperagakan busana ‘avant garde’ dan berekspresi kreatif menerusi pakaian yang diperagakan.
Pentas ANWAA 3.0 sekali lagi menyaksikan Aina tampil dengan fesyen luar dari kebiasaan. Memperagakan empat busana berona kelabu, merah, biru dan keemasan.
Aina telah ditatariaskan oleh penata gaya, Abu Shaef Hamza dan mendapat sentuhan penuh magis daripada barisan pereka fesyen terkemuka seperti Rizman Ruzaini, Zaimi Zulkafli, Melinda Looi dan Ezuwan Ismail. Paling win busana kedua berona biru yang mengeluarkan asap di bahu dan bunga berputar di bahagian depan.
#8. Ibu bekalkan Aina
Ketika di penghujung konsert, Aina meminta izin untuk melegakan tekaknya yang dahaga. Penyanyi itu dilihat mengambil bekas minuman di atas meja kecil yang disediakan lalu meminumnya.
Apa yang melucukan, Aina berkata bekas air yang bercorak astronaut itu dibeli oleh ibunya lantas seluruh dewan bergelak kerana berasa terhibur.
#9. Remake Terus Hidup AJL
Bukan Aina Abdul jika tiada kejutan dan gimik! Ketika lagu terakhir ingin disampaikan, Aina sempat berlari ke belakang dewan. Ternyata penyanyi itu muncul semula dengan busana berona putih yang pernah digayakan sewaktu namanya dijulang sebagai juara AJL37 menerusi lagu Terus Hidup.
Menurut Aina, keputusan untuk menyarung semula busana rekaan Melinda Looi itu dibuat pada saat akhir iaitu sehari sebelum konsert berlangsung. Katanya dia mahu kembalikan momen penuh sejarah itu dan berkongsi semula bersama peminat.
#10. Tabung Kasih PRIHATIN
Difahamkan, sebahagian hasil jualan tiket ANWAA 3.0 akan disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN yang bakal memberi manfaat kepada para pelajar, golongan B40 dan mereka yang ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain, Aina mengumumkan satu berita gembira apabila konsert A Night With Aina Abdul bakal dianjurkan di Singapura pada 6 Januari 2024.