Penyampai radio Tyzo Xander, memberitahu kepada OhBulan! bahawa dia tidak berani untuk bercakap lebih mengenai kisah yang membabitkan dirinya dengan anak kepada pelakon Normah Damanhuri iaitu Lydia Rosli.
Artikel Berkaitan: Tyzo Kongsi Pengalaman Diraba Bukan Kerana Publisiti – ‘Semua Pihak Perlu Bersuara Bila Dianiaya’
Kami sangat baik
Ketika dihubungi OhBulan! Tyzo berkata, secara jujurnya dia berasa sangat terkejut dan tidak tahu untuk bercakap apa-apa pada waktu itu.
Secara jujurnya saya terkejut. Saya tak tahu apa yang dia (Lydia) cakap masa itu. Saya tak tahu apa kenyataan yang dikeluarkan dan apa soalan yang ditanya oleh para wartawan. Saya dah tengok video itu, tapi tak berani nak cakap lebih. Sebelum ini saya tak ada kongsi kisah peribadi di mana-mana. Saya simpan komen mengenai kisah viral ini.
Menurut Tyzo, dia sudah mengenali Lydia hampir dua tahun yang lalu. Mereka memulakan hubungan sebagai kawan dan seterusnya menjadi rakan dalam bidang perniagaan. Ujar Tyzo, dia sangat rapat dengan keluarga Lydia bahkan, wanita itu turut mengenali keluarganya.
Saya memang kenal dia. Kami sangat baik. Sebelum buat bisnes bersama kami dah kenal dekat dua tahun.
Disoal sama ada sudah menghubungi Lydia ataupun tidak selepas kisah mereka viral, Tyzo secara ringkas menjawab tidak.
Saya tak tanya sebab perkara itu dia ada cakap sikit-sikit sebelum ini. Jadi saya anggap benda itu biasa. Itu apa yang dia luah daripada hati dia. Dia seorang yang jujur. Secara jujur, dia pernah cakap dekat saya, cuma saya banyak fikir perkara lain. Saya tak terfikir perkara itu. Dia wanita, ibu dan kawan yang baik. Saya kena fikir panjang kalau nak fikir soal kahwin.
Buat masa ini saya lebih selesa berdiam diri. Orang cakap baik pasal saya dan dia, harap-harap ada benda yang baik. Saya tak nak cakap lebih, sebab hari ini dan esok akan berubah.
Bekas penyampai radio Suria ini turut menafikan dakwaan dirinya ‘friendzone’ Lydia.
Jangan cakap saya ‘friendzone’ dia, saya tak kenakan dia atau dia kenakan saya. Masing-masing ada pandangan dan pilihan. Kami sangat baik. Walaupun apa-apa berlaku selepas ini, kami masih boleh jadi kawan yang baik. Saya tak nak cakap apa-apa mengenai hubungan.
Di samping itu, OhBulan! sempat bertanya kepada Tyzo adakah dia akan berasa kekok selepas ini sekiranya berjumpa dengan Lydia? Jejaka berusia 48 tahun ini berkata, dia hanya terkejut mendengar kenyataan yang diberikan oleh Lydia kepada media.
Sebenarnya saya alamak! Saya tak ada kisah peribadi yang keluar. Saya terkejut kenyataan yang diberi kepada media. Mengenali dia, dia sangat jujur ketika bercakap. Saya tak sangka jadi viral. Apa yang berlaku biar ia berlalu.
Di akhir temu bual, OhBulan! bertanya mengenai fokus Tyzo untuk tahun ini dan adakah dia mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
Jauh di sudut hati ada rasa nak berumah tangga. Cuma fokus utama saya sekarang kepada anak. Apa yang saya nak buat selepas ini mengenai kerjaya saya. Kalau ada jodoh dan rezeki saya akan bagitahu kepada semua. Saya harap netizen mendoakan yang baik-baik buat saya dan Lydia. Setiap kata-kata yang baik merupakan doa.