Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha tampil memberikan respon matang dan tenang terhadap kecaman yang diterima mengenai pemakaiannya yang dianggap terlalu seksi.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Mengucap Panjang Tengok Baju Daiyan Trisha – ‘Kenapa Makin Over?’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Imej Bertudung Daiyan Trisha Raih Pujian, Netizen Doakan Agar Istiqamah – ‘Cantiknya, Siap Handsock Lagi’

Daiyan terima teguran

Ketika ditemui OhBulan!, Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin berkata, dia menerima segala teguran dan nasihat yang diberikan dengan hati yang terbuka.

Ujar anak jati Selangor ini, dia sudah terbiasa dengan teguran dan kritikan namun, sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari masa ke semasa.

Saya rasa itu adalah satu perkara yang saya akan sentiasa terima sepanjang bergelar anak seni.

Saya masih cuba istiqamah dan saya terima saja semua nasihat dan komen-komen orang.

Daripada saya sendiri, saya akan cuba yang terbaik untuk berubah.

Tapi kita tak tahu kan? Mungkin esok, lusa saya akan berubah.

Daiyan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media ‘Malam Paling Terhangat’ Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang diadakan di APW, Bangsar pada malam Khamis.

Ketika ditanya mengenai teguran netizen yang mengaitkan dirinya sebagai seorang yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pelantun lagu ‘Penat’ ini enggan mengulas panjang.

Saya tak boleh komen banyak dan kalau soal dah pergi umrah atau belum, itu adalah antara saya dan Allah.

Cuma saya tak ada apa komen bila ramai yang tegur soal pemakaian saya.

Saya cuma menjadi diri saya sendiri dan akan sentiasa cuba untuk berubah bila sampai masa yang tepat.

Sebelum ini, beberapa perkongsian Daiyan di media sosial meraih perhatian sehinggakan ramai yang mengecam dan mendakwa pemakaian penyanyi berusia 31 tahun itu terlalu menjolok mata.

AMT2025

Sementara itu, Daiyan meluahkan rasa syukur dan menitipkan jutaan terima kasih buat peminatnya yang memberikan undian bagi dua pencalonannya di AMT 2025.

Sekadar info, Daiyan berjaya menempatkan diri dalam senarai top 10 bagi kategori ‘Selebriti Stailo Terhangat’ dan ‘Selebriti Feminin Terhangat’ bagi AMT 2025.

Dikendalikan oleh duo pengacara terhangat Fikry Ibrahim dan Ain Edruce, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan malam kemuncak AMT 2025 yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini, jam 9 malam, secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton.

Acara Karpet Merah akan menemui penonton lebih awal, mulai jam 8 malam di TikTok Melodi Berapi dan TV3 Malaysia.