Persengketaan antara kumpulan pelawak adik-beradik iaitu Atu Zero dan abangnya Sharif Zero masih lagi tidak menemui jalan penyelesaian meskipun sudah berlanjutan hingga dua tahun.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Memang Betul, Tapi Untuk Sementara’ – Zero Tepis Dakwaan

Artikel Berkaitan: Atu Zero Belum Terima Bayaran, RM30,000 Dibekukan

Masih bersengketa

Ketika ditemui OhBulan!, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, kesal dengan tindakan abangnya yang meninggalkan acara tayangan perdana filem Duyung: Lagenda Aurora yang berlangsung malam tadi lebih awal.

Kamu semua boleh tengok sendiri. Sekarang ni hanya kami berdua (Atu dan Syaiful) yang ada sehingga akhir tayangan filem.

Jadi kita sudah nampak disitu, ada pihak yang cuba mengelak. Macam saya, saya tidak mengelak sebab ini kerja jadi kita harus profesional.

Bagi saya, kalau diluar kita gaduh, tapi dalam jika ia melibatkan sebahagian daripada pekerjaan, kita kena ‘buang’ tepi perkara itu. Tapi, kita tengok sendiri malam gala ni pun dia tidak ada (balik usai tayangan filem).

Dalam masa sama, Atu juga mengakui sedih dengan keadaan yang dihadapinya ketika ini terutama selepas melalui pelbagai perkara dalam bidang hiburan.

Bila ada yang menganggap kumpulan Zero sudah tidak ada disebabkan isu ini, tipulah jika saya kata tak sayang.

Sebab kita buat semua ini hampir 12 tahun, dan merasa setiap jatuh bangun dalam perjalanan seni kami tapi kalau setakat satu isu yang timbul boleh melupakan segalanya, itu terpulang kepada dia.

Mengulas lanjut, Atu berkata, dirinya telah berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka meskipun abangnya didakwa tidak memberikan respon yang baik.

Saya memang berusaha untuk menjernihkan kembali keadaan. Bukan setakat doa, kadang-kadang ada juga pergi mencari peluang tetapi dia senyap sahaja.

Tengok dekat Instagram, TikTok semuanya dia sudah unfollow saya. Saya pun tak tahu apa masalah sampai tahap ini.

Namun, seandainya ada tawaran bekerja untuk bertiga, saya terbuka. Tapi kalau masih dalam keadaan yang sama, itu kita tak boleh salahkan sesiapa.

Kita tahu siapa yang salah, kita tahu siapa yang memulakan jadi, minta maaf sahajalah. Sebab mungkin dengan permintaan maaf itu boleh menjernihkan suasana meskipun tidaklah sejernih dahulu.

Atu berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Duyung: Legenda Aurora yang berlangsung di ibu kota pada Rabu.

Punca sebenar

Semasa disoal tentang punca sebenar, Atu mendedahkan konflik yang terjadi adalah kerana pelbagai perkara dan salah satunya adalah wang.

Punca sebenarnya, sebelum dari podcast lagi. Tapi itulah, bila terlalu pendam benda itu dah pecah memang tak boleh tahan. Puncanya memang dalam.

Sebahagiannya adalah daripada masalah kerja. Isu kewangan juga antara faktor, selain ada juga beberapa perkara lain Cuma kalau nak disimpulkan semua, kita nak perkataan maaf sahaja. Bukan maaf kepada saya, tetapi kepada keluarga saya. Itu sahaja saya boleh katakan.

Sebagai adik, saya sanggup menurunkan ego demi kebaikan semua.

Sementara itu, sebagai abang sulung, Syaiful berharap agar kedua-dua adiknya menemui jalan damai dan memperbaiki hubungan mereka secepat mungkin.

Saya dengan ketiga-tiga adik beradik saya memang kami tak ada masalah sebab saya anak sulung.

Jadi pandai-pandai kamulah selesaikan perkara ini cepat-cepat ya. 

Itu terpulang kepada mereka berdua. Mereka yang bergaduh.

Tapi memang, saya ada cakap dengan mereka berdua supaya selesaikan masalah ini secepatnya.