Seorang wanita warga Indonesia mengalami kecederaan selepas didakwa ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di Jalan Redan, Kanchong Darat, pada Ahad.

Tikam bekas isteri

Memetik laporan Kosmo Online, insiden yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi itu dipercayai berpunca kerana suspek tidak berpuas hati selepas perceraian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai dipengaruhi perasaan marah serta tuduhan kononnya majikan mangsa menghalang bekas isterinya untuk kembali bersama.

Siasatan awal mendapati suspek menikam mangsa sekali di bahagian perut kiri menggunakan pisau. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan dalaman.

Tambahnya, sejurus kejadian, suspek melarikan diri bersama senjata yang digunakan.

Usaha mengesan dan menahan suspek sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.

Sumber: Kosmo Online