Peguam syarie mewakili penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, iaitu Mohd Redzuan Ramli menyangkal tuduhan bekas isteri anak guamnya, Dr Afifah, yang mendakwa barangan peribadinya dicampak keluar dari rumah.

Artikel Berkaitan: Dr Afifah Berang Dengan Nubhan, Dakwa Barang Peribadi Dicampak Di Hadapan Rumah Ibu – ‘Pernah Dah Dia Buat Saya Macam Ini’

Artikel Berkaitan: Akaun Media Sosial Nubhan ‘Diserang’ Netizen – ‘Tergamak Buang Barang Bekas Isteri’

Peguam nafi

Foto: Berita Harian via Redzuan Ramli

Memetik laporan Berita Harian, Mohd Redzuan menegaskan bahawa proses memindahkan barangan milik Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dari kediaman mereka sebelum ini dilakukan secara berhemat.

Malah segala urusan pemindahan tersebut diuruskan oleh syarikat pengangkutan berdaftar bagi memastikan keadaan barang terjaga.

Dakwaan bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah.

Saya juga dimaklumkan anak guam bahawa proses pengalihan barangan peribadi bekas isterinya dibuat dengan sangat baik dan cermat.

Sekiranya ada kecacatan Nubhan sedia bayar ganti rugi.

Mengulas lanjut, Redzuan menjelaskan bahawa berdasarkan persetujuan lisan sebelum ini, Dr Afifah sedia maklum bahawa tempoh untuk dia menetap di kediaman berakhir sebaik sahaja iddah tamat pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Nubhan atas dasar ihsan masih membenarkan bekas isterinya tinggal di rumah berkenaan, selain turut membiayai segala kos utiliti.

Anak guam saya ada meminta pendapat untuk menduduki kembali rumah atas nama beliau. Saya jelaskan tiada kesalahan dalam undang-undang, tetapi hendaklah dibuat secara baik dan berhemah.

Bekas isterinya (Dr Afifah) sedia maklum mengenai tempoh untuk tinggal di kediaman kerana perkara itu sudah dibincang dan dipersetujui. Tetapi, ada sebab kenapa Nubhan tidak maklumkan sebelum memindahkan barang-barang itu keluar.

Nubhan pada bila-bila masa bersedia untuk menyediakan atau menanggung kos sewaan rumah untuk anak-anak beliau tinggal bersama bekas isteri sekiranya itu yang dimahukan. Anak-anak pula bebas untuk keluar masuk rumah terbabit tanpa had.

Mohd Redzuan turut mendedahkan wujudnya unsur pelanggaran undang-undang di kediaman itu, namun perkara tersebut hanya akan dibawa ke prosiding tuntutan harta sepencarian.

Sementara itu, pihak Nubhan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menabur fitnah dan memprovokasi isu rumah tangganya secara dalam talian.

Terdahulu, Dr Afifah meluahkan rasa kesal di Threads selepas mendakwa barangan peribadinya ‘dicampak’ dari rumah tanpa sebarang makluman awal ketika dia sedang berada di luar negara.

Untuk info, Nubhan, 39, sah bercerai dengan Afifah, 35, pada 2 Disember lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan hidup bersama selama 10 tahun. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3.

Sumber: Berita Harian