Meskipun namanya belum begitu meledak dalam arus perdana, Daniel Cheang sebenarnya sudah lama menapak kukuh dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan: Daniel Cheang Mohon Maaf, Dikritik Tak Pandai Mengacara E-Sport

Bina karier tanpa kejar populariti

Personaliti serba boleh ini memiliki pengalaman luas sebagai hos televisyen, penyampai radio, pengacara temu bual selebriti antarabangsa dan juga pelakon.

Konsistensi dan kerja keras menjadi teras utama perjalanan kerjayanya yang kini semakin matang dan tersusun.

Dikenali sebagai penyampai radio Hitz Weekend serta pengacara TV dan personaliti media sosial aktif, Daniel baru-baru ini berkongsi sisi peribadinya dalam satu sesi khas bersama Dr Healing.

Dalam pertemuan itu, Daniel membuka kisah jatuh bangun sepanjang bergelar anak seni dari dunia penyiaran ke pentas antarabangsa.

Saya sentiasa berfikir ke hadapan. Mungkin pasaran saya lebih sesuai di luar negara, tapi saya tetap bersyukur kerana masih ada rezeki di tanah air sendiri.

Selain dunia penyiaran, Daniel turut mencuba bidang lakonan menerusi drama Imperfect terbitan Astro Gempak, kemunculan sebagai cameo dalam filem Polis Evo 2, serta beberapa lagi drama tempatan.

Baginya, tiada peranan yang terlalu kecil kerana setiap peluang adalah ruang untuk berkembang dan belajar.

Mental Positif

Terbaharu, Daniel menamatkan tugasnya sebagai pengacara belakang tabir bagi rancangan Raise The Star Malaysia dan dalam masa sama masih meneruskan komitmennya terhadap siri temu bual bersama selebriti antarabangsa.

Ada beberapa lagi program TV yang bakal menyusul, tapi belum boleh diumumkan secara rasmi. Kalau ada peluang sesuai, saya juga terbuka untuk kembali ke set lakonan.

Dalam sesi hampir sejam itu, Daniel turut diperkenalkan dengan teknik Centre of Excellence (COE), pendekatan daripada Neuro Linguistic Programming (NLP) yang membantu seseorang kembali ke keadaan mental, emosi dan fizikal terbaik mereka.

Teknik ini sering digunakan saat seseorang berdepan tekanan, kekecewaan, atau apabila impian masih belum tercapai.

Melalui gabungan visualisasi, sambungan emosi dan ‘anchor’, COE mampu mengaktifkan semula keyakinan diri dan memindahkan tenaga positif ke dalam usaha masa kini.

Sepanjang perbualan, jelas terpancar ketenangan Daniel yang kini lebih terbuka untuk berkongsi pandangan mengenai industri hiburan, kesihatan mental dan peranannya sebagai figura awam.

Kadang-kadang, orang hanya nampak apa yang viral. Tapi saya percaya, perkara yang bertahan lama datang daripada asas yang jujur dan konsisten.

Tak Perlu Gemerlapan Untuk Bernilai

Daniel percaya bahawa untuk terus relevan, seseorang tidak perlu sentiasa berada di bawah sorotan, yang penting adalah nilai yang dibawa dalam setiap langkah dan bagaimana perkara itu memberi makna kepada orang lain.

Perjalanan seninya bukan sekadar tentang pencapaian, tetapi tentang keyakinan diri, kesabaran dan keberanian mencipta ruang sendiri walaupun tanpa publisiti besar-besaran.

Bagi Daniel, kejayaan sebenar bukan pada sorakan gemuruh, tetapi pada usaha yang konsisten dan niat yang tulus.

Video