![[VIDEO] Daniel Fong Dijangkiti Influenza, Pilih Teruskan ‘Shooting’ – ‘Saya Kena Jayakan Watak Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/07/daniel-fong.jpg)
Pelakon Daniel Fong berkongsi pengalaman meneruskan penggambaran meskipun sedang berdepan jangkitan influenza.
Artikel Berkaitan: Daniel Fong Kongsi Rutin Sebelum Masuk Set, Netizen Terhibur ‘Part’ Pakai Deodoran – ‘Kami Dah Percaya Ketiak Tak Berbau’
Artikel Berkaitan: Isu Bau Badan Di Set Penggambaran, Netizen Petik Nama Daniel Fong – ‘Saya Pakai Deodoran’
Teruskan komitmen kerja walau dijangkiti influenza
Ketika ditemui OhBulan!, Daniel memaklumkan dirinya sempat menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Langkawi bagi menjalani sesi penggambaran drama bersiri Yes! Captain Zul Aaryan.
Bagaimanapun, Daniel atau nama penuhnya Daniel Fong Weng Chuan, 29, mempercayai dirinya menjadi punca penularan jangkitan itu selepas seorang demi seorang kru produksi serta barisan pelakon turut jatuh sakit.
Saya terkena jangkitan influenza. Mulanya saya buat pemeriksaan di Langkawi, tapi doktor kata tiada apa-apa.
Bila balik, seorang demi seorang kru dan pelakon lain pula jatuh sakit.
Jadi, boleh dikatakan virus itu memang datang daripada saya sejak hari kedua di Langkawi lagi.
Saya rasa sangat bersalah. Bila saya dah okay, giliran kru dan pelakon lain pula yang jatuh sakit.
Daniel berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Eksklusif Yes! Captain Zul Aaryan yang berlangsung di TGV, KLCC, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk meneruskan penggambaran, Daniel menyifatkan kerjayanya sebagai satu komitmen profesional yang menuntut dirinya untuk bangkit menjayakan watak yang telah diamanahkan.
Sebagai seorang pelakon, ini adalah tuntutan profesionalisme. Bila saya dah terima tawaran untuk berlakon, jadi macam mana sekalipun kena jayakan watak itu.
Depan televisyen penonton nampak pelakon okay, tetapi realitinya ramai yang tanggung sakit di set.
Kita tak mahu disebabkan kita sakit, penggambaran tertunda dan menyusahkan kru yang terlibat.








