Pempengaruh dan usahawan sensasi, Siti Jamumall mendedahkan pernah mendapat RM50 nafkah setahun ketika berkahwin dengan bekas suami.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Sudah Lama Bercerai, Berhenti Buat Fitnah’ – Siti Jamumall
Nafkah RM50 setahun
Menurut Siti, 24, sikap tidak bertanggungjawab itu menjadi punca dia nekad untuk bercerai pada tahun lalu. Kata Siti, dia terpaksa bekerja keras mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
Sebelum ini ramai tanya kenapa saya cerai. Kalau nak tahu, saya pernah dapat RM50 saja nafkah dalam masa setahun. Paling banyak pun RM200.
Saya pernah cakap dengan dia (bekas suami) perkara ini. Tapi, mujur saya ini wanita jenis yang berdikari dan tidak mahu bergantung harap sepenuhnya dengan dia. Jadi, saya bekerja dan berniaga menerusi sesi siarang langsung.
Malah, pernah hari di mana sebelum bersalin anak kedua saya masih sempat selesaikan semua pesanan orang untuk dihantar. Selepas itu baharulah saya ke hospital. Sampai tahap macam tu saya kena cari duit sendiri.
Sampai bila nak teruskan hubungan toksik
Dalam pada itu, pemilik nama Siti Suriani Wahiddin berkata dia sudah tidak sanggup untuk membela ‘biawak hidup’ serta membiarkan diri sendiri terus disakiti.
Sampai bila saya nak hidup dalam suasana rumah tangga dan perhubungan yang toksik? Saya tidak mahu terus membiarkan diri terseksa dengan menanggung ‘biawak hidup’.
Diakui apa yang berlaku ini memberi impak besar kepada kehidupan saya. Saya hanya berkongsi perkara ini kepada keluarga dan rakan rapat saja. Mereka yang banyak berikan sokongan dan semangat untuk teruskan kerjaya.
Saya dari umur 16 tahun dah biasa berdikari dan cari rezeki. Bila bercerai ini, hidup perlu diteruskan. Saya sentiasa ingat pesan mak, menjadi perempuan macam mana kaya pun suami, tapi kena ingat kena ada duit sendiri dan cari duit sendiri.
Siti Jamumall dan suami bercerai dengan talak satu pada Disember tahun lalu selepas empat tahun berkahwin.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2.