Selaku ketua juri program Gegar Vaganza dari musim pertama sehingga musim kelapan, Dato Ramli Ms akhirnya membuka mulut mengenai pemilihan lagu buat para peserta untuk setiap minggu. Ujar Dato Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram, kesemua peserta akan memberi ‘wish list’ lagu kegemaran mereka terlebih dahulu sebelum pertandingan tersebut bermula.
Pandai pilih lagu
Pendedahan tersebut dilakukan oleh Tok Ram sebaik sahaja beliau memberi komen kepada Nikki Palikat, semalam. Ujar Tok Ram, Nikki pandai memilih lagu untuk pentas akhir Gegar Vaganza 8. Tambah Tok Ram, sepanjang musim Gegar Vaganza, para peserta akan memberi ‘wish list’ lagu kegemaran mereka kepada pihak produksi. Jadi, kesemua lagu yang dinyanyikan oleh para peserta sejak dahulu lagi merupakan lagu pemiilhan mereka sendiri.
Susulan daripada pendedahan tersebut, Nabil dan Jihan Muse tampil secara ‘live’ dan menerangkan semula kepada orang ramai mengenai kenyataan Tok Ram. Ujar Jihan, setiap peserta hanya memberi senarai lagu sahaja tetapi mereka tidak tahu lagu mana yang akan dinyanyikan untuk setiap minggu.
Semua peserta akan menghantar berpuluh-puluh lagu bahkan ada yang sampai beratus-ratus lagu. Tapi mereka tak tahu lagu apa yang dipilih untuk setiap minggu. Segmen ‘ada lagu, ada lagi’ merupakan segmen penentu dan di mana kesemua peserta baru tahu lagu apa yang akan mereka bawakan untuk minggu seterusnya. Pihak produksi akan periksa semula senarai lagu yang diberikan oleh peserta, ini kerana ada di antara mereka yang menghantar ‘wish list’ lagu yang sama. Lebih menarik, ada yang sudah lupa lagu pemilihan mereka sendiri.
Persaingan sengit
Menerusi konsert akhir semalam, rata-rata netizen sukar meramalkan siapa yang bakal merangkul gelaran juara GV8. Menurut netizen, Aliff Aziz, Nikki Palikat dan Suki Low antara peserta yang memberikan persaingan sengit. Bahkan, bunda Hetty tidak kisah mana-mana di antara mereka ini meraih gelaran juara. Namun, ternyata rezeki berpihak kepada Aliff Aziz kerana berjaya memenangi gelaran juara dalam pertandingan tersebut. Aliff mendapat markah sebanyak (83.06 %) diikuti Nikki Palikat sebanyak (81.26%) serta Suki Low (77.91%). Manakala, Adibah Noor, Azan Scan dan Aweera meraih hadiah saguhati.