Siapa sangka, dua kampung pedalaman di kawasan Ulu Baram, Telang Usan, Miri, Sarawak kini semakin bersinar dengan wajah baharu! Tahun 2024 menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memilih Kampung Long Latei dan Kampung Long Suling sebagai Kampung Angkat MADANI, dengan kerjasama Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dan NGO MyHumanitarian.

Kalau sebelum ini projek bekalan air bersih pernah dijalankan di sini, kali ini inisiatif lebih besar dan menyeluruh telah dijalankan merangkumi pembangunan fasiliti kampung serta program khas memperkasakan belia pedalaman. Projek ini bermula pada Ogos 2024 dan selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2025.

Fasiliti Serba Baharu Dan Kampung Dinaik Taraf

Antara inisiatif yang berjaya dilaksanakan sepanjang projek termasuklah:

60 unit lampu jalan solar dipasang terdiri daripada 30 lampu di Kg. Long Latei dan 30 lampu di Kg. Long Suling.

Tangki air dinaiktaraf dengan bumbung untuk kawal suhu & jaga kualiti air.

Insinerator baharu dibina bagi memudahkan pelupusan sampah & hasilkan baja untuk tanaman.

37 pintu atap rumah panjang di Kg. Long Latei diganti baharu.

Gelanggang futsal dinaiktaraf serta gelanggang serbaguna baharu siap dibina di Kg. Long Latei.

Memang nampak jelas betapa projek ini memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung!

Kursus & Latihan Belia Pedalaman

Selain infrastruktur, aspek pembangunan belia pun tidak dilupakan.

Sebanyak 3 siri kursus kemahiran dianjurkan di Kg. Long Latei dengan penyertaan 150 belia untuk setiap siri.

Siri 1 (16–18 Ogos 2024) – Kursus Asas Rekreasi dan Eco Host

Siri 2 (5–7 September 2024) – Kursus Keselamatan dan Keterjaminan Makanan

Siri 3 (19–21 September 2024) – Kursus Kraftangan dan Penyelenggaraan Kereta (Diesel)

Ilmu yang diperoleh bukan sahaja membantu belia tingkatkan kemahiran, malah boleh dijadikan sumber pendapatan masa depan.

Karnival Sukan Luar Bandar. Serius Meriah!

Kemeriahan projek ini memuncak dengan Karnival Sukan Luar Bandar Telang Usan pada 26 Oktober 2024. Hampir 1,000 orang komuniti setempat hadir!

Acara ini bukan sekadar sukan, tapi juga platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat kampung, sambil meraikan semangat kesukanan.

Projek MADANI Tawarkan Manfaat Jangka Panjang

Selesainya projek ini, penduduk Kampung Long Latei dan Long Suling kini mampu menikmati fasiliti moden, peluang kemahiran baharu serta semangat komuniti yang lebih kuat.

Ia membuktikan bahawa pembangunan pedalaman tetap menjadi keutamaan, selari dengan semangat MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat.