
Platform penstriman Tonton terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena kandungan digital apabila buat julung kalinya menyiarkan acara sukan secara Pay-Per-View (PPV) menerusi kerjasama dengan Fury Championship Vol. II.
Artikel Berkaitan: Alif Muhaimin Terasa Hati Kawan Baik Pandang Rendah, Buktikan Mampu ‘Tumbangkan’ Adam Lee
Eksklusif di Tonton

Pengurus Besar Tonton, Fikri Rizal Mahruddin berkata, kolaborasi tersebut menjadi satu pencapaian penting buat platform itu dalam usaha memperluaskan penawaran kandungan, khususnya dalam segmen sukan digital.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membuka ruang kepada peminat sukan tempur menikmati aksi secara eksklusif, malah menjadi permulaan kepada lebih banyak kandungan sukan yang bakal ditawarkan pada masa hadapan.
Kolaborasi yang kita buat masa ini bersama Fury Championship merupakan satu lonjakan besar buat Tonton untuk masuk ke dalam arena sukan, bukan sahaja sukan tempur.
Kami berharap lebih banyak persatuan dan organisasi di Malaysia dapat menggunakan platform ini untuk menyiarkan kandungan mereka kepada penonton yang lebih luas.
Fury Championship Vol. II dijadual berlangsung di Karisma Arena, Seremban pada 25 Julai ini dengan menampilkan 13 pertarungan membabitkan atlet tempatan dan antarabangsa.
Antara pertarungan yang menjadi tumpuan ialah aksi membabitkan wakil negara, Izzat Zaki yang bakal berdepan pencabar dari Indonesia, Brian Lawitan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AR Fury Holdings, Wafiy Ilhan Johan menyifatkan kerjasama bersama Tonton sebagai langkah strategik yang mampu melonjakkan lagi perkembangan sukan tempur tempatan ke tahap lebih tinggi.
Kami melihat ini sebagai satu langkah strategik yang sangat besar dan berani daripada Fury dan juga Tonton kerana ini kali pertama konsep Pay-Per-View diperkenalkan menerusi kerjasama ini.
Tambahnya, edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan beberapa atlet baharu selain menghidangkan semula beberapa perseteruan lama yang dijangka mencetuskan aksi lebih sengit dan menghiburkan.
Bukan sekadar menyaksikan pertarungan di gelanggang, peminat yang melanggan PPV di Tonton berpeluang menikmati kandungan eksklusif yang memaparkan perjalanan serta kisah di sebalik kehidupan para atlet sebelum mereka beraksi.
Dalam pada itu, sambutan terhadap kejohanan berkenaan turut memberangsangkan apabila tiket kategori “Super Early Bird” yang dijual menerusi Wowtix habis dijual dalam tempoh kurang 10 minit selepas jualan dibuka.
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kejohanan itu secara langsung, akses “Early Bird PPV” kini ditawarkan pada harga RM11.90 untuk tempoh terhad.
Kerjasama antara Tonton dan Fury Championship Vol. II dilihat bukan sahaja memperkenalkan pengalaman tontonan baharu kepada peminat sukan tempur, malah membuka lembaran baharu dalam perkembangan kandungan sukan digital di Malaysia.








