Pelakon, Zul Ariffin sanggup melakukan transformasi fizikal ekstrem dengan menurunkan lebih 20 kilogram berat badan demi menjayakan watak Abdul Firdaus dalam filem The Furious: Pertaruhan Maruah.

Artikel Berkaitan: ‘Tidak Akan Berlaku Lagi, Saya Janji’ – Zul Ariffin Mohon Maaf, Akui Tabiat Buruk Jangan Dicontohi

Tranformasi ekstrem

Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Ariffin, 39, berkata proses tersebut bukan sesuatu yang mudah malah disifatkannya sebagai ‘latihan neraka’ kerana dia perlu mengawal pemakanan secara ketat selain menjalani latihan tinju intensif.

Memang rasa macam nak mati buat semua itu. Saya tak perlu cerita panjang pasal apa yang saya makan sebab 17 hari pertama saya langsung tak makan. Sebab itu dalam tempoh 17 hari pertama sahaja saya turun 10 kilogram.

Saya fikir, takkanlah nak nampak tak sesuai dekat set sedangkan saya dah pitching bersungguh-sungguh untuk watak ini. Saya tolak tepi soal makanan sementara waktu. Pinggang saya dari saiz 36 turun sampai 31.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem The Furious: Pertaruhan Maruah yang berlangsung di GSV, Midvalley, baru-baru ini.

Tambah Zul lagi, sebelum ini dia pernah menurunkan sekitar 10 hingga 12 kilogram ketika menjayakan sebuah filem, namun cabaran kali ini jauh lebih ekstrem.

Kali ini saya turun keseluruhan 23.5 kilogram. Berat saya daripada 103 kilogram turun kepada sekitar 79 kilogram.

Kebanyakan hari saya cuma ambil 600 kalori sahaja walaupun masih shooting dan training boxing. Paling tinggi pun mungkin 800 kalori, sedangkan satu burger sahaja dah hampir 800 kalori.

Apa yang pelakon lain lalui, saya lalui juga. Bezanya mereka makan cukup, tapi saya kena bertahan dengan hanya 600 kalori sehari.

Saya muntah banyak kali dekat gym, pitam tiga kali dan hidung berdarah dua kali sebab badan terlalu dehidrasi.

Selain Zul, The Furious: Pertaruhan Maruah turut dibintangi Ikmal Amry, Sky Iskandar, Zamarul Hisyam, Marissa Yasmin dan ramai lagi.