Siapa sangka, perjalanan pendidikan yang bermula di sekolah tahfiz membawanya ke  University College London (UCL), salah sebuah universiti terbaik dunia.  

Begitulah kisah Muhammad Irfan Zainuri, 20, dari Bayan Lepas Pulau Pinang, yang kini  mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Falsafah dan Sains Komputer di UCL, United  Kingdom, menerusi Anugerah Biasiswa Global Permodalan Nasional Berhad (PNB).  

Perjalanan Irfan bukan sekadar tentang melanjutkan pengajian ke luar negara, tetapi turut  dipenuhi pengalaman akademik dan kepimpinan menerusi pelbagai bimbingan dan peluang  yang diterimanya selepas menerima surat tawaran biasiswa PNB pada 2024.  

Selepas tamat SPM, walaupun Irfan memohon pelbagai biasiswa lain termasuk kerajaan dan swasta, rezeki akhirnya menyebelahinya melalui biasiswa PNB.  

“Apabila saya mengenang kembali perjalanan ini, saya benar-benar bersyukur kerana peluang yang saya terima itu datang daripada PNB.” 

“Pengalaman, sokongan dan peluang yang saya terima sepanjang program asasi di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) selama dua tahun, menjadikan keputusan tersebut antara perkara terbaik dalam hidup saya,” tambahnya.

PNB
Muhammad Irfan (kiri) bersama 27 penerima biasiswa Majlis Pra-Pelepasan Penerima Anugerah Biasiswa Global PNB dan Anugerah Kecemerlangan YTI 2026 pada 11 September 2026

Terima berita ketika sedang makan di kafeteria 

Irfan masih mengingati detik dia mengetahui dirinya terpilih sebagai penerima biasiswa PNB. 

“Saya menerima mesej daripada ibu yang memberitahu berita baik tersebut. Ketika itu saya berada di kafeteria dan baru tamat kelas.” 

“Saya bukan jenis yang menunjukkan emosi di wajah, tetapi petang itu saya tersenyum sendirian. Sebaik tiba di bilik asrama, saya terus melakukan sujud syukur sebelum membalas e-mel dan menyiapkan video pengenalan yang diperlukan,” katanya. 

Ketika itu, Irfan sedang mengikuti program asasi perubatan di Kampus Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di Gambang, Pahang, sementara menunggu keputusan  permohonan biasiswa.  

Namun, tawaran tersebut hadir bersama satu keputusan besar. Irfan perlu memilih sama ada meneruskan pengajian dalam bidang perubatan atau membuka lembaran baharu dalam bidang yang berbeza. 

Kerana impiannya adalah untuk belajar di luar negara, Irfan memberanikan diri untuk mengambil peluang itu dan memulakan satu perjalanan akademik yang baharu di UCL.

Pernah anggap menghafaz al-Quran sebagai sesuatu yang mustahil

biasiswa
Irfan berkongsi pengalaman pengajian di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) kepada pelajar-pelajar sekolah tahfiz yang mengadakan lawatan ke kolej tersebut.

Perjalanan akademik Irfan juga tidak semudah seperti yang dibayangkan. 

Ketika bersekolah di sekolah akademik dan tahfiz, dia mengakui pernah mempunyai keyakinan diri yang rendah sehingga menganggap menghafaz al-Quran sebagai sesuatu yang mustahil. 

Daripada situ, dia mula mencari kaedah pembelajaran yang paling sesuai dengan dirinya. 

Menurutnya, dia tidak semestinya belajar lebih lama, sebaliknya cuba memahami cara untuk belajar dengan lebih cekap dan berkesan. 

Pengalaman itu membentuk satu prinsip yang masih dipegangnya sehingga hari ini. 

“Saya percaya setiap orang boleh berjaya. Apa yang penting ialah kesediaan untuk terus  mencuba sehingga menemui cara yang paling berkesan untuk belajar dan menguasai sesuatu, berkembang dan mencapai potensi diri,” katanya. 

Prinsip sama turut membantunya berdepan subjek Further Maths di KYUEM yang disifatkannya sebagai sangat mencabar.

Walaupun memperoleh A dalam subjek tersebut, berbanding A+ bagi subjek lain, Irfan tetap menganggap keputusan itu sebagai satu pencapaian, kerana hampir semua masa  ulangkajinya ditumpukan pada subjek tersebut. 

“Dapat A untuk subjek ini bagi saya sudah satu keajaiban dan kemenangan,” katanya.

Lebih daripada biasiswa, PNB buka ruang untuk berkembang

Bagi Irfan, biasiswa PNB bukan sekadar pembiayaan pengajian tetapi turut memberi peluang untuknya belajar di KYUEM sebelum melanjutkan pengajian ke London. 

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, dia juga bersyukur kerana ibu bapanya tidak perlu menanggung kos pengajian tersebut dan boleh memberi lebih perhatian kepada keperluan  adik-adiknya yang masih bersekolah. 

Ibu bapa Irfan menjadi sumber inspirasi dan pendorong terbesar sepanjang perjalanan pendidikannya. 

Kini, ketika memulakan kehidupan sebagai pelajar di London, Irfan berharap pengalaman itu dapat membentuk dirinya menjadi individu yang bukan sahaja berkemahiran dalam pelbagai bidang, tetapi juga mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. 

Menurut Irfan, dia menyimpan impian untuk melihat sekolah tahfiznya terus berkembang dalam akademik, kokurikulum dan aspek pembiayaan.

“Jangan hadkan kebolehan diri”

biasiswa
Muhammad Irfan bergambar di UCL

Buat anak muda yang sedang mengejar impian, Irfan berpesan supaya berani dan yakin dengan kebolehan diri dan tidak mengehadkan potensi diri hanya kerana rasa ragu atau takut  untuk mencuba. 

“Jangan hadkan potensi diri sendiri. Kalau ada sedikit keraguan dalam hati, ia boleh meracuni kemahuan untuk berjaya. Jangan takut dengan kegagalan. 

“Tak kira jalan apa yang anda pilih dalam hidup, sama ada diploma, IPG, asasi, A-Level, STPM atau IB, teruskan perjalanan itu dengan semangat dan sikap yang positif dan kuat. 

“Yang paling penting, percaya pada diri sendiri dan berusahalah untuk membanggakan ibu bapa serta guru yang sentiasa menyokong kita,” katanya. 

Kisah Irfan mencerminkan bagaimana Program Biasiswa PNB selama 30 tahun terus membuka peluang dan mengubah masa depan generasi muda Malaysia.  

Bermula dengan hanya 10 pelajar pada 1996, program itu kini telah menyokong 6,547 penerima biasiswa menerusi pelbagai laluan pendidikan, termasuk pengajian tinggi, TVET dan  pembangunan profesional, dengan pelaburan hampir RM570 juta.  

Selama tiga dekad, program-program biasiswa PNB telah membuka pintu peluang kepada ribuan anak muda Malaysia melalui sokongan kewangan, bimbingan berterusan, latihan industri dan pengalaman antarabangsa yang membantu membentuk generasi pemimpin masa depan negara.