berita

Data MyUndi Menunjukkan Rakyat Selangor Cenderung Memilih Calon Berkredibiliti Berbanding ‘Anak Jati’

August 10th, 2023 | by Sya Alkaf
Kini Trending

Kredit foto: Harian Metro & NST – Gambar hiasan.

Portal MyUndi ‘Suara Kita’ baru-baru ini sempat membuat tinjauan di enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung minggu nanti.

Tinjauan ini mengetengahkan beberapa soalan yang berlainan mengikut negeri, berikut kami kongsikan hasil tinjauan di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan:

Lebih 93% rakyat di 6 negeri PRN sedia pulang mengundi – Selangor utamakan kerja berbanding status

Kredit foto: BH – Gambar Hiasan

Secara keseluruhan hasil tinjauan menunjukkan 94.1% rakyat di kesemua negeri yang bakal mengadakan PRN sedia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Buat rakyat Selangor, mereka bersetuju bahawa status ‘anak jati ‘ Selangor bukanlah penentu untuk memilih calon yang akan mewakili mereka.

Sebaliknya, mereka cenderung memilih wakil rakyat yang cemerlang dalam menjalankan tugas dan paling penting mempunyai rekod pentadbiran yang baik.

50.1% responden juga bersetuju bersetuju sekiranya calon yang juga ahli Parlimen bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN.

Terengganu pilih kebajikan masyarakat sebagai pengukur kejayaan

Sama seperti Selangor, rakyat Terengganu juga mengutamakan kredibiliti kerja sebagai ciri utama untuk memilih calon wakil rakyat.

Sebahagian besar rakyat Terennganu memilih kebajikan masyarakat sebagai kayu ukur prestasi kerajaan negeri.

Manakala sebilangan lagi, memilih pelaburan dan peluang pekerjaan sebagai penentu prestasi kerajaan negeri.

Adakah naratif gabungan baharu antara parti politik mempengaruhi undi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang?

Kredit foto: BH – Gambar Hiasan

Responden di kedua-dua negeri ini menunjukkan reaksi yang berbeza mengenai naratif gabungan baharu antara parti politik.

Di Negeri Sembilan, 52.7% responden bersetuju undi mereka adalah berdasarkan gabungan dan kerjasama antara parti. Sementara, di Pulau Pinang pula, 54.5% mengakui undi mereka adalah berdasarkan prestasi calon dan parti yang diwakilinya, bukan gabungan.

Di Negeri sembilan, mereka juga mengutamakan kebajikan masyarakat dan menganggap ia sebagai penentu keupayaan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Manakala, di Pulau Pinang isu yang kian merisaukan rakyat di sana adalah berkaitan hal kesesakan jalan raya serta ketidakseimbangan pembangunan di Seberang Perai dan di bahagian Pulau. 

Kedah mahu kemudahan awam dipertingkat

44% rakyat di Kedah mahukan peningkatan taraf hidup melalui pembinaan kemudahan awam yang ditambah baik.

Selebihnya mahu penambahbaikan infrastruktur bekalan air serta usaha untuk menguatkan hubungan dengan kerajaan pusat dan 88.5% rakyat negeri tersebut bersetuju bahawa calon Menteri Besar memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan parti yang bertanding di PRN.

Kelantan komited kepada perubahan

60.3% pengundi di Kelantan mahukan perubahan pada PRN akan datang, hal ini berikutan kebanyakkan daripada mereka kurang berpuas hati dengan kerajaan negeri terdahulu dalam mentadbir Kelantan.

Kredit foto: Harian Metro – Gambar hiasan.

Isu bekalan air bersih terus menjadi topik hangat dengan 39.8% responden memilih hal tersebut sebagai salah satu isu yang mempengaruhi kehidupan mereka secara langsung.

18.2% lagi mengetengahkan isu kelulusan cukai dan status tanah sebagai isu yang perlu diberi perhatian.

Manakala 42% rakyat di negeri itu memandang hal peluang pekerjaan sebagai isu yang paling merisaukan.

Bagaimanapun, isu peluang pekerjaan bukan sahaja perlu diberi perhatian di Kelantan tetapi negeri-negeri lain juga secara keseluruhannya menganggap ia sebagai masalah yang perlukan solusi dengan kadar segera.

SKIP THIS AD ×