berita

Datuk Bandar Di Mexico Kahwini Aligator Untuk Bawa Kemakmuran Kepada Kampung

July 4th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Satu ritual perkahwinan lain daripada yang lain diadakan di mana seorang Datuk Bandar di Mexico telah berkahwin dengan seekor aligator, lapor Daily Mail.

Bawa kemakmuran kepada kampung

Menurut laporan, Datuk Bandar San Pedro Huamelula, Victor Hugo Sosa berkahwin dengan haiwan berkenaan sebagai sebahagian daripada ritual perkahwinan Orang Asli di sebuah kampung di Oaxaca, Mexico yang didakwa mampu membawa kemakmuran kepada kampung itu.

Reptilia yang dikahwini itu berusia tujuh tahun dan diberi gelaran ‘Little Princess’ kerana dianggap sebagai dewa yang mewakili tanah air negara tersebut. Perkahwinan itu pula didakwa melambangkan penggabungan manusia dengan ‘Tuhan’.

Dalam satu majlis yang penuh warna-warni, orang ramai dilihat menari dengan iringan muzik tradisional, dan Datuk Bandar itu diminta untuk mencium ‘pengantin perempuan’ tersebut.

Ibu baptis yang menganjurkan perkahwinan itu, Elia Edith Aguilar berkata,  dia sangat gembira dan bangga dengan asal usulnya.

Ia satu tradisi yang sangat indah, adalah satu keistimewaan untuk diamanahkan bagi menjalankan upacara ini.

Tambahnya, dia telah menghabiskan banyak masa untuk memikirkan ‘busana’ yang akan dipakai oleh aligator terbabit.

Muncung aligator diikat

Dalam foto yang dikongsikan, bahagian muncung aligator kecil itu dilihat terikat dengan rapat dipercayai untuk mengelak gigitan yang tidak diingini ketika Datuk Bandar menciumnya sepanjang majlis.

Difahamkan, ritual perkahwinan itu mungkin bermula sejak berabad-abad lamanya hingga zaman pra-Hispanik dalam kalangan masyarakat Orang Asli Chontal dan Huave di negeri Oaxaca.

Sumber: Daily Mail

SKIP THIS AD ×