berita

Demi Keluarga, Juruterbang Tak Kekok Jadi Runner Selepas ‘Cuti’ Setahun Akibat Covid-19

August 20th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Berikutan penularan wabak Covid-19 di Malaysia, seorang juruterbang yang dikenali sebagai Mohd Faridz Abu Bakar, mengambil cuti gaji selama setahun. Meskipun tidak lagi terbang di awan biru, lelaki berusia 40 tahun ini, mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam bidang perniagaan demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Tiada apa nak dimalukan

Tiada apa nak dimalukan walaupun kini, saya tidak lagi memakai pakaian seragam (juruterbang) seperti dulu. Biarlah apa orang nak kata kerana apa pun yang berlaku, saya perlu terus mencari rezeki demi menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga.

Saya sudah biasa bekerja dan bergelar juruterbang sejak 2005 iaitu 15 tahun lalu .Kini, kebanyakan masa di rumah jadi memang terasa ada sesuatu yang kurang dan janggal terutama apabila mahu mencuba perkara baru. Namun, kekuatan saya datang daripada isteri yang paling banyak memberi sokongan selain keluarga dan rakan. Jika tidak, boleh jadi, saya juga ada kemungkinan mengalami kemurungan kerana berdepan situasi yang tidak pernah jangka berlaku pada tahun 2020.

Menerusi laporan Harian Metro, Faridz memberitahu dia kini membantu isterinya untuk membuat penghantaran kek dan minuman yang dijual secara dalam talian kepada pelanggan. Tambahnya, dia sudah menyesuaikan diri dengan perubahan rutin hariannya walaupun pada mulanya dia berasa janggal. Di samping itu, Faridz memberitahu perniagaan kek yang diusahakan isterinya itu sudah beroperasi sejak dua bulan yang lalu.

Sektor paling terkesan

Dulu, saya boleh meraih pendapatan mencecah lima angka tetapi kini menjadi tiga angka. Mujurlah ada simpanan dan terima kasih juga kepada kerajaan kerana membantu menerusi pelaksanaan moratorium.

Industri penerbangan ini antara sektor yang paling terkesan jadi saya perlu terima kerana ramai rakan menerima nasib sama. Cuma, perasaan rindu untuk bekerja tentunya ada bukan kerana soal duit semata-mata tetapi kepuasan.

Mengulas mengenai pandemik yang sedang berlaku, Faridz memberitahu bahawa industri penerbangan merupakan sektor yang paling terkesan. Namun, dia bersyukur kerana masih mempunyai simpanan meskipun pendapatannya semakin berkurang. Jelasnya lagi, dia berharap wabak Covid-19 akan berakhir dengan segera kerana dia berasa rindu untuk terbang semula.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×