Seorang bayi lelaki yang masih lagi bernyawa dan bertali pusat ditemui berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, semalam. Menerusi laporan Harian Metro, bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan.
Menemui kesan tompokan darah
Sekadar gambar hiasan
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz memberitahu pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada pukul 12.35 tengah hari daripada orang awam. Tambahnya, bayi tersebut dicampak oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari tingkap biliknya. Ujar beliau lagi, bilik remaja tersebut terletak di tingkat dua rumah berkenaan dan ketinggiannya lebih kurang sembilan meter.
Seorang saksi yang juga jiran suspek mendengar bunyi kuat seperti benda terjatuh di bahagian bumbung rumahnya dan kemudian menemukan bayi berkenaan sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan di bilik remaja tersebut, pihak polis berjaya menemui kesan tompokan darah pada jerigi tingkap serta cadar biliknya. Pemeriksaan lanjut juga mendapati gadis itu masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah tersebut.
Berada dalam keadaan kritikal
Sekadar gambar hiasan
Mengulas mengenai keadaan bayi tersebut, A Asmadi memaklumkan bayi itu berada dalam keadaan kritikal dan cedera pada bahagian kepala. Kini, bayi tersebut dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Suspek dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut. Keterangan lanjut belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan.
Soal siasat ke atas ibu dan dua adik suspek juga dilakukan oleh pihak polis. Kesemua mereka tidak mengetahui tentang kehamilan remaja tersebut, malah semasa kejadian tiada sebarang petanda yang ditunjuk. Saksi kes berkenaan bakal dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk dirakam percakapan dan membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro