berita

Kami Terokai Tasik Gunung Berapi Terbesar Dunia. Danau Toba, Tanah Batak Wajib Kunjung!

November 24th, 2018 | by faris
Travelogue

Sebut saja Danau Toba, kali terakhir nama tempat ini disebut adalah ketika kelas Geografi di zaman sekolah dulu. 74 ribu tahun lampau, letusan Gunung Berapi Toba membentuk tasik ini yang merupakan tasik letusan gunung berapi terbesar dunia!

Tasik semulajadi ini terletak tengah Pulau Sumatera Utara dan mempunyai panjang 100 kilometer, 30 km lebar dan berkedalaman 505 m. Baru-baru ini kami dibawa meneroka keindahan Danau Toba yang mungkin jarang-jarang diperkatakan.

TB Silalahi Center

TB Silalahi Center adalah muzium kaum Batak yang menempatkan pameran pakaian tradisi, senjata, hiasan, replika rumah dan alatan digunakan komuniti ini seharian. Batak merangkumi 6 suku iaitu Toba (penghuni Danau Toba), Karo, Pakpak, Simalungun, Angkola dan Mandailing.

‘Horas!’ kerapkali diucapkan kepada pelancong setiap kalu bertemu dan saat berpisah. Ucapan ini juga digunakan sebagai salam pembuka dan penutup dalam setiap acara Batak.

Jika seseorang mengucapkan salam ‘Horas’, sahutlah dengan mengucapkan ‘Horas’ juga. Ini akan membantu mencipta suasana mesra dan erat.

Pengunjung juga turut dihiburkan dengan tarian tradisi setiap suku Batak di perkampungan budaya di perkarangan TB Silalahi Center ini. Kami  juga diberi peluang untuk turut sama menari mengikut rentak tari gemalai penari dengan persalinan aneka corak dan warna.

Menyusuri Danau Toba menuju Pulau Samosir

Perjalanan menaiki bot khas dari jeti Parapat menuju Pulau Samosir antara momen yang cukup istimewa dan paling diingati. Kehangatan mentari pagi tidak sedikit pun membuat kami merungut ketika bersantai di atas bumbung bot.

Bayu berpuput lembut menyapa pipi tatkala bot dipacu pada kelajuan minimal, sungguh-sungguh pengalaman tak mampu dibeli wang ringgit (ataupun Rupiah!). Perjalanan lebih kurang 20 minit menyusuri danau yang tenang langsung tidak terasa.

Lumban Suhi Suhi Turuan Samosir

 

Rombongan kami turut dibawa ke sebuah kampung yang menjadi kewajipan untuk pelawat kunjungi di Lumban Suhi Suhi Turuan Samosir. Di kampung tradisional ini penduduknya mengusahakan tenunan ulos. Ulos adalah seni tenunan tangan suku Batak mirip songket.

Anak-anak gadis sunti seawal kelas 5 (11 tahun) sudah diajar untuk menenun. Untuk ulos polos tanpa corak kompleks, satu minggu diperlukan untuk disiapkan memandangkan mereka masih bersekolah.

Huta Ginjang

‘Huta’ bermaksud ‘kampung’ manakala ‘ginjang’ bererti ‘tinggi’. Huta Ginjang menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan untuk mengabadikan kenangan berlatarbelakangkan panorama indah danau dari tanah tinggi.

Suhu dingin dilatari bukit-bukau, dihampari air danau yang tenang, destinasi tarikan pelancong ini terletak 1150 dari paras laut. Di waktu siang, suhunya boleh mencecah 19-20 darjah Celsius dinginnya. Terdapat juga beberapa gerai minum bagi pelancong menghirup kopi panas atau teh untuk menghangatkan badan.

Tomok Village

Untuk membeli-belah cenderamata bagi yang tersayang di tanah air, disarankan ke Tomok Village yang mengumpulkan deretan kedai baju, barangan kraftangan dan batik untuk pelancong. Tips yang dikongsikan pemandu pelancong kami adalah, sentiasa tawar-menawar sehingga 50% dari harga asal untuk mendapat harga terbaik.

Kalau sebelum ini pelancong perlu mendarat di Medan dan menempuh perjalanan panjang untuk ke Danau Toba, kini tidak lagi! Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia kini terbang 4 kali seminggu ke Silangit untuk korang merasai sendiri menerokai keindahan Danau Toba.

Berita baik untuk penumpang AirAsia!

AirAsia kini memperkenalkan kaedah pembayaran tanpa tunai BigPay untuk pelanggannya. Yang penting, sudahlah pendaftarannya percuma, pelanggan juga menikmati penjimatan yuran pemprosesan (RM32) dan potongan RM2 untuk pra-pesanan makanan dalam pesawat. Memang berbaloi-baloi!

Siapa saja yang tak kenal Nasi Lemak Pak Nasser AirAsia kan? Selain nasi lemak, pesan awal makanan Santan set bersama minuman, dengan hanya RM10 saja. Menu baru dalam pesawat adalah Roasted Chicken with Pesto Cream dan Chicken Teriyaki with Rice. Memang sedap dan dijamin berpuas hati. Tak perlu risau lagi dengan makanan mahal ketika penerbangan.

Ayuh jelajahi keindahan Danau Toba yang tak terungkap dek kata-kata. Horas!

The following two tabs change content below.