berita

Dexamethasone Mampu Kurangkan Radang, Risiko Kematian Pesakit Covid-19 Tapi…

June 18th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dalam pelbagai penyakit. Di Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penerangan mengenai ubat tersebut dan kesannya buat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Mengurangkan risiko kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil maklum mengenai perkembangan awal ujian klinikal iaitu randomised clinical trial ubat Dexamethasone dalam rawatan COVID-19. Ujian klinikal tersebut yang dikenali sebagai “Recovery Trial” di University of Oxford, United Kingdom itu merupakan salah satu usaha untuk merawat pesakit yang dijangkiti wabak yang sedang melanda.

Hasil ujian klinikal tersebut, ubat Dexamethasone digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dan mampu mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan (ventilatory support).

Namun begitu, ujian klinikal turut mendapati bahawa ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan. Hasil penemuan saintifik ini penting dalam perkembangan rawatan pesakit COVID-19. Oleh itu, pihak KKM telah memberikan ucapan syabas kepada kerajaan United Kingdom, University of Oxford dan semua anggota yang terlibat dalam uji kaji klinikal tersebut.

Perlu berwaspada

Walau bagaimanapun, KKM menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor. Ini kerana, ubat tersebut juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat ini bagi penyakit-penyakit tertentu.

Terdahulu, saintis United Kingdom (UK) mendakwa berjaya temui ubat yang dipercayai mampu meningkatkan survival pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan. Menurut saintis tersebut, Dexamethasone sejenis steroid yang murah dan mudah diperoleh. Di samping itu, ianya dipercayai mampu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit.

Penemuan itu diumumkan pada Selasa lalu dan Kerajaan UK telah membenarkan seluruh negara menggunakan ubat yang sama. Hampir 2 ribu pesakit diberikan ubat berkenaan dalam kajian yang diketuai University Oxford.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia & Astro Awani

SKIP THIS AD ×