
Drama bersiri Madu Atau Racun menjadi antara naskhah tempatan paling hangat diperkatakan selepas beberapa babaknya mencetuskan kritikan kerana didakwa menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat.
Susulan kontroversi itu, platform penstriman yang menayangkan drama bersiri lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha itu mengambil keputusan menghentikan sementara penayangan drama berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Satu Babak Drama Viral, Terus Kena ‘Cancel’? Adakah Penonton Makin Sensitif? Ini 7 Realiti Industri Hari Ini
Kontroversi Buka Persoalan Lebih Besar
Enam episod yang sudah ditayangkan diturunkan, manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod melalui proses suntingan dan penilaian semula.
Namun di sebalik kontroversi Madu Atau Racun, isu ini sebenarnya membuka beberapa persoalan lebih besar mengenai cara karya tempatan dihasilkan dan diterima hari ini.
1. Sejauh Mana Kebebasan Berkarya Boleh Pergi?
Setiap pengkarya pastinya mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza dan berani.
Namun apabila sesebuah karya menyentuh perkara yang dianggap sensitif oleh sebahagian masyarakat, di manakah garis antara kebebasan kreativiti dan tanggungjawab terhadap penonton?
Inilah antara persoalan utama yang muncul apabila Madu Atau Racun mula menjadi perdebatan.
2. Adakah Platform Penstriman Lebih Bebas Daripada Televisyen?
Kehadiran platform OTT seperti iQIYI, Netflix dan Viu memberi lebih banyak ruang kepada pengkarya untuk meneroka pelbagai jenis cerita.
Namun kes Madu Atau Racun menunjukkan kandungan yang disiarkan secara digital juga tidak terlepas daripada sensitiviti masyarakat serta proses pemantauan.
FINAS berkata drama berkenaan perlu disunting dan dinilai semula sebelum boleh diteruskan.
3. Bolehkah Satu Babak Menenggelamkan Keseluruhan Cerita?
Dalam era media sosial, penonton tidak semestinya menonton sesuatu drama dari episod pertama hingga terakhir.
Kadangkala hanya satu babak pendek yang dipotong dan dikongsikan secara meluas sudah cukup untuk membentuk persepsi terhadap keseluruhan karya.
Pelakon Elisya Sandha sendiri sebelum ini meminta penonton melihat keseluruhan cerita kerana menurutnya terdapat mesej yang mahu disampaikan menerusi drama tersebut.
4. Perlukah Pengkarya Kini Fikir Tentang Bagaimana Babak Akan Tular?
Dahulu, sesebuah drama dinilai berdasarkan episod penuh.
Sekarang satu babak berdurasi beberapa saat boleh berdiri sendiri di TikTok, Threads atau Instagram tanpa konteks cerita asal.
Ini mungkin menjadi cabaran baharu buat penerbit dan pengarah. Bukan sekadar memikirkan bagaimana sesuatu babak berfungsi dalam cerita, tetapi bagaimana ia mungkin diterima apabila dipisahkan daripada konteks asalnya.
5. Bila Kontroversi Berlaku, Siapa Yang Patut Bertanggungjawab?
Adakah pelakon, penulis skrip, pengarah, penerbit atau platform yang perlu dipertanggungjawabkan apabila sesuatu karya menimbulkan kontroversi?
Dalam kes ini, MIG Production sudah membuat permohonan maaf dan mengakui terdapat babak yang dilihat keterlaluan untuk tontonan umum, sementara iQIYI turut bersetuju melakukan semakan dan suntingan semula.
Kontroversi Hari Ini, Pengajaran Untuk Karya Akan Datang
Apa sahaja pandangan terhadap Madu Atau Racun, kontroversi ini membuktikan satu perkara. Menghasilkan karya pada zaman media sosial bukan lagi sekadar bercerita.
Pengkarya juga perlu memahami sensitiviti penonton, perubahan cara kandungan dikonsumsi dan bagaimana satu babak boleh mencetuskan perbincangan jauh lebih besar daripada karya itu sendiri.