
Pelakon, Fasha Sandha mengakui masih terngiang-ngiang insiden anak perempuannya, Aisha Amira yang menangis teresak-esak kerana tidak mahu ditinggalkan olehnya, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: ‘Kadang Rasa Nak Berhenti Berlakon Sebab Masa Tak Cukup’ – Fasha Sandha Kongsi Momen Anak Menangis Tak Mahu Berjauhan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fasha Sandha Masih Sahabat Fazura, Anggap Peminat Fanatik Terlebih Emosi – ‘Doakan Keluarga Mereka Harmoni’
Tersentuh emosi seorang ibu

Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata kejadian itu memberi kesan mendalam kepadanya sebagai seorang ibu, apatah lagi apabila anaknya jarang menunjukkan emosi sedemikian.
Saya masih rasa berat hati sampai hari ini, sebab dia tidak pernah menangis begitu sebelum ini. Video asal sebenarnya sangat panjang, cuma saya tidak sampai hati untuk muat naik semuanya di media sosial.
Ada babak dia berguling atas lantai kerana terlalu sedih. Dia juga enggan ke sekolah sebab mahu ikut saya. Dia terlalu emosi apabila saya terpaksa tinggalkannya.
Selepas saya balik rumah, saya pujuk semula anak saya. Cikgunya juga beritahu tidak lama selepas saya tinggalkan dia, dia sudah okay. Bila situasi macam ini berlaku, saya yang kena kuatkan hati. Mental pun kena kuat.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Tambah aktres berkenaan, momen itu turut menjentik emosinya sehingga membuatkan dia terfikir untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan demi memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Itulah yang membuatkan timbul secebis perasaan mahu tinggalkan dunia lakonan, fokus pada anak dan mungkin buat bisnes.
Namun, seperti yang saya selalu katakan, lakonan sudah sebati dalam jiwa saya. I love acting so much. Saya pula jenis yang tak suka duduk diam, mesti nak bekerja.
Orang yang sudah biasa bekerja macam saya memang tak boleh duduk diam. Bila dua bulan tak berlakon, rasa sangat lain. Terus rasa rindu nak kembali ke set penggambaran.
Ditanya sama ada pernah terlintas rasa menyesal memilih kerjaya sebagai anak seni, Fasha menepis perkara tersebut dan menegaskan dia langsung tidak pernah berasa demikian.
Nak kata saya menyesal ceburi dunia seni, memang tidak. Saya sayang kerjaya saya. Saya membesar dengan lakonan dan tak pernah rasa menyesal memilih jalan ini.








