Penyanyi legenda, Zaiton Sameon menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada hari ini dengan satu impian yang masih belum tercapai, iaitu menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Artikel Berkaitan: Zaiton Sameon Nafi Sedang Rapat Dengan Dr Afif – ‘Dia Terlalu Muda Untuk Saya, Lagipun Suami Orang’

Artikel Berkaitan: Sebulan Dua Kali Ke Sarawak, Zaiton Sameon Nafi Letak Harga Mahal – ‘Saya Bersyukur Masih Terima Banyak Undangan’

Zaiton Sameon mahu tunai haji

Bagi pelantun lagu Menaruh Harapan itu, tiada hadiah yang lebih bermakna sempena pertambahan usianya selain diberikan kesempatan oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya sekali lagi selepas dua kali berpeluang mengerjakan umrah sebelum ini.

Lebih mengharukan, Zaiton atau mesra disapa Kak Ton mengakui sekiranya impian tersebut menjadi kenyataan, dia mahu menunaikan ibadah berkenaan bersama anak angkat yang selama ini setia menjaga dan membelanya dengan penuh keikhlasan.

Untuk hari lahir kali ini, saya berdoa semoga Allah mengizinkan saya menunaikan ibadah haji pula. Memang teringin sangat hendak ke sana kerana sebelum ini saya hanya berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.

Kalau boleh, saya mahu pergi bersama anak angkat yang selama ini menjaga serta membela saya dengan penuh keikhlasan. Dia sangat baik dengan saya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur dan terus memberikan saya kekuatan.

Terima kasih kepada semua yang masih meminati saya. Alhamdulillah, sampai hari ini orang masih mengenali Zaiton Sameon.

Tak mahu kahwin lagi

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 70 tahun itu turut bersyukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik meskipun masih berdepan kesan kecederaan pada kaki akibat terjatuh di dalam lif beberapa tahun lalu.

Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Saya banyak berdoa ketika berada di Tanah Suci.

Untuk kaki pula, keadaannya masih sama seperti dahulu. Kecederaan ini berlaku selepas saya terjatuh di dalam lif.

Mengulas mengenai kehidupan peribadinya pula, Kak Ton menegaskan dia tidak lagi berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan selesa menjalani kehidupan seorang diri dengan tenang.

Umur-umur macam ini, kahwin itu saya tidak mahu. Daripada ada suami, lebih baik ada adik. Saya hanya mahu berseronok menikmati hidup.

Biarlah saya begini, cukuplah dua kali berkahwin sebelum ini. Saya cuma mahu hidup dengan tenang.

Senang cakap, saya memang tidak perlukan lelaki sebagai teman hidup.

Terdahulu, Kak Ton ditemui ketika menjayakan persembahan pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026, baru-baru ini.

Majlis itu merupakan satu platform penghormatan tertinggi peringkat negeri Pahang yang dianjurkan secara kolaboratif antara Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Program terbabit menyatukan agenda memartabatkan profesion keguruan di samping meraikan kejayaan luar biasa sekolah-sekolah di seluruh negeri Pahang dalam peperiksaan SPM 2025.

Sebanyak lebih RM60,000 diperuntukkan sebagai hadiah tunai bagi menghargai 49 penerima anugerah yang terdiri daripada individu dan institusi pendidikan. Antara pengiktirafan yang diberikan termasuk Hadiah Ikon Guru Akademik serta 11 kategori Ikon Guru daripada pelbagai latar belakang seperti pencipta kandungan digital, guru inovatif, guru OKU dan guru Orang Asli.

Bagi kecemerlangan akademik SPM, sebanyak 12 sekolah menerima pengiktirafan selepas mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) bawah 2.30, selain beberapa sekolah lain yang merekodkan lonjakan GPS melebihi 0.90. Selain itu, 14 sekolah dari seluruh Pahang dipilih menerima Anugerah Lonjakan Layak Menerima Sijil (LMS) terbaik bagi memastikan pengiktirafan diberikan secara saksama di setiap kawasan.

Sokongan terhadap pendidikan turut dizahirkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan PIBKS melalui peruntukan khas serta pengurusan hadiah, sijil dan logistik.

Sebagai simbol kebersamaan warga pendidik, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail turut menyerahkan kain baju batik secara simbolik kepada Pengarah Pendidikan Pahang untuk diagihkan kepada lebih 25,000 warga pendidik di seluruh negeri itu.