berita

Didakwa Alami Sesak Nafas, Bayi Maut Kain Lampin Tertutup Muka Di Rumah Pengasuh

August 19th, 2022 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan maut selepas mengalami sesak nafas akibat kain lampin tertutup pada mukanya ketika berada di dalam buaian di rumah pengasuh di Taman Cempaka, Ampang Jaya, semalam.

Mangsa sesak nafas sebab kain lampin

Sekadar gambar hiasan

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang telah menerima pesakit berusia empat bulan yang dibawa dari klinik di Pandan Indah dengan menaiki ambulans Hospital Ampang.

Semasa tiba di Hospital Ampang, pesakit sudah tidak bernyawa. Bantuan kecemasan diberikan tetapi mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian.

Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi berkenaan dihantar ke rumah suspek untuk dijaga.

Keterangan awal suspek memaklumkan mangsa sesak nafas kerana kain lampin dalam buai menutup muka.

Tak dapat diselamatkan

Sekadar gambar hiasan

Ujarnya lagi, bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan serta disahkan meninggal pada jam 6.35 petang. Bagaimanapun, punca kematian masih dalam siasatan.

Susulan itu, pada jam 10.30 malam tadi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pengasuh bayi itu.

Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau kesalahan berkaitan jenayah atau dadah. Wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Ampang untuk direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Susulan daripada itu, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×