berita

Didakwa Lakukan Amang Seksual Dua Beradik & 17 Tuduhan Rogol, Guru Mengaji Mengaku Tidak Bersalah

June 29th, 2022 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang guru mengaji al-Quran didakwa atas 17 pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap dua beradik sejak tujuh tahun lalu. Namun begitu, lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Butterworth, Pulau Pinang.

Mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Ashaari Ibrahim yang memakai baju kemeja putih, berkain pelikat dan berkopiah itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusuf dan Norhayati Mohd. Yunus.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak yang pada ketika itu berusia tujuh tahun di Jalan Baru antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020. Oleh itu, Ashaari didakwa mengikut Seksyen 376(1)(e) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

11 pertuduhan lakukan amang seksual fizikal

Sekadar gambar hiasan

Bagi 11 lagi pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia lima tahun antara 1 Januari 2014 hingga Mac 2021.

Susulan daripada itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1)(e) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, kedua-dua hakim membenarkan permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 29 Julai 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Artikel asal daripada Utusan Malaysia. Ikuti berita terkini dalam dan luar negara di portal Utusan Malaysia

SKIP THIS AD ×