
Suami kepada pelakon, Miera Liyana iaitu Rosland Othman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Sarawak Consolidated Industries Berhad lima tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Bekas Madu Miera Liyana Puas Hati Menang Kes Nusyuz, Fokus Tuntutan Hadanah & Nafkah Pula
Artikel Berkaitan: Nama Miera Liyana Tercalar, Mohon Bekas Madu Jangan Tunggang Untuk Publisiti – ‘Saya Pernah Menang Anugerah…’
Mengaku tak bersalah
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus di Mahkamah Sesyen pada hari ini, Rosland, 52, yang pada ketika itu merupakan pengarah Sarawak Consolidated, telah menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia.
Difahamkan, pernyataan itu terkandung dalam “Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 June 2021”.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, pada 30 September 2021.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Perenggan 369(b)(B) dibaca bersama Subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 671].
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda sehingga RM3 juta.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya SC, Hashley Tajudin, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kesalahan tersebut tidak membenarkan jaminan.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah membenarkannya.
Pendakwaan juga memohon syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh hendaklah diserahkan kepada mahkamah dan dia dikehendaki melaporkan diri ke ibu pejabat SC sebulan sekali sehingga kes selesai.
Pun begitu, Peguam S. Shastidaran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung tujuh anak.
Anak guam yang telah diisytihar sebagai muflis pada 2023 juga menghidap penyakit kencing manis, glaukoma dan masalah saraf.
Dia juga memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan, oleh itu mohon mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin dengan jumlah yang rendah dan munasabah sebanyak RM5,000.
Hakim Azrul kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sumber: Harian Metro