Kempen mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih tular dalam pelbagai platform media sosial sejak semalam. Kempen tersebut disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran musim pandemik.
Namun begitu, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa rakyat tidak wajar diajar untuk mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih.
Angkat tangan berdoa
Menerusi Facebook, Nik memberitahu bahawa masyarakat perlu mengangkat tangan untuk berdoa kepada tuhan bukannya bendera putih. Tambahnya, berdoa merupakan senjata utama buat manusia ketika dilanda apa jua dugaan.
Angkat tangan berdoa kepadanya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.
Terdahulu, rata-rata netizen menulis kata-kata sokongan di media sosial dan menyatakan kesediaan untuk menghulur bantuan kepada individu yang berbuat demikian. Tambah netizen, idea mengenai kempen tersebut sangatlah bagus buat mereka yang benar-benar terjejas.
Itu salah satu usaha
Pada masa yang sama, netizen tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Mohamad Abduh di akaun Facebooknya. Menurut netizen, ujian setiap orang berbeza-beza dan mengangkat bendera putih ini merupakan sebahagian daripada usaha memandangkan kita tidak tahu sama ada orang tersebut sudah berdoa ataupun belum.
Sumber: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz