Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukan rayuan selepas Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan tindakan terhadap badan induk bola sepak negara itu bersama tujuh pemain warisan.

Artikel Berkaitan: ‘Mickey’ Sah Digantung Empat Bulan

FAM akan buat rayuan

Perkara itu diumumkan sendiri oleh FAM menerusi satu hantaran yang dibuat mereka menerusi laman web rasmi dan perkongsian di Instagram (IG).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pihak kami telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan kes pemain warisan.

Sehubungan dengan keputusan ini, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.

Dalam masa yang sama, FAM turut menjelaskan bahawa pihak mereka sebelum ini telah menguruskan segala dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano secara telus.

FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.

Di akhir kenyataan, badan induk bola sepak negara menegaskan bahawa mereka bakal memberikan kerjasama dan akan sentiasa mematuhi peraturan demi kesihatan sukan bola sepak negara.

FAM kekal komited untuk bertindak dengan tegas, mematuhi peraturan antarabangsa, serta mempertahankan integriti bola sepak negara.

Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan.

Terdahulu, FIFA mengenakan tindakan tatatertib kepada FAM dan tujuh pemain warisan selepas mendapati persatuan bola sepak negara menyerahkan dokumen yang dipalsukan.

Dokumen tersebut adalah berkaitan dengan urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi mewakili negara Malaysia.

Sumber: FIFA, IG FAM