Korang yang membesar sekitar tahun 90-an mungkin pernah menonton filem animasi dari Hollywood, iaitu “The Land Before Time” dan “All Dogs Go To Heaven” kan? Kalau korang nak tahu, ada kisah tragis yang menimpa salah seorang pelakon suara filem animasi ini.
Bukan itu sahaja, anak kecil ini juga pernah membintangi beberapa filem Hollywood terkenal. Pelakon cilik yang dimaksudkan adalah Judith Barsi.
Perkahwinan pertama Jozsef Barsi
Judith Eva Barsi telah dilahirkan pada 6 Jun 1978 di Los Angeles. Judith merupakan anak perempuan kepada pasangan Jozsef Istvan Barsi dan Maria Virovacz. Menurut sumber, Jozsef dan Maria merupakan pendatang Hungary yang melarikan diri dari negara mereka semasa pendudukan Soviet pada tahun 1956 yang lalu. Kedua-dua mereka pernah mempunyai zaman kanak-kanak yang agak mencabar dan ‘kejam’. Jozsef kemudian melarikan diri ke Perancis.
Difahamkan, sebelum bertemu dengan Maria, Jozsef pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita yang dikenali dengan nama Kiara. Hasil daripada perkahwinan Jozsef dan Kiara, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata iaitu Barna dan Agi. Mereka sekeluarga kemudian berpindah ke Amerika Syarikat dan menetap di New York. Tetapi sayangnya, Jozsef tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang baik malah dia juga kerap minum arak. Lebih mengejutkan apabila dia mula ‘naik tangan’ dan mendera anak-anak dan isterinya. Kiara bersama anak-anaknya telah melarikan diri ke Arizona. Pada tahun 1969, Kiara memfailkan penceraian terhadap Jozsef dan akhirnya mereka berpisah.
Detik perkenalan dengan Maria
Namun segala-galanya bermula apabila penghijrahan Jozsef ke Los Angeles, California dan selepas bertemu dengan seorang wanita yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran terkemuka di sana iaitu, Maria Virovacz pada tahun 1976. Jozsef yang juga merupakan pelanggan tetap di restoran tersebut telah berjaya menarik perhatian Maria dan sejak daripada itu hubungan mereka lebih akrab.
Maria juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini dan bercerai. Pada tahun 1977, pasangan ini akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin dan pada tahun 1978 lahirlah seorang bayi yang sangat comel yang diberi nama Judith Eva Barsi. Judith merupakan satu-satunya cahaya mata pasangan Jozsef dan Maria. Menurut sumber, mereka sekeluarga yang tinggal di sebuah apartment kecil ini pernah berhadapan dengan masalah kewangan. Ketika usia anak gadisnya itu mencecah 2 tahun, Maria mula membuat persediaan dengan mendandan, mengajar Judith tentang etika untuk menjadi seorang pelakon.
Judith Eva Barsi mula dikenali
Tetapi pada awalnya, kebanyakan orang memberitahu Maria bahawa usahanya itu hanya sia-sia dan membazirkan masa sahaja. Tetapi tidak lama selepas itu iaitu pada tahun 1983 usaha Maria selama ini berbuahkan hasil. Ketika Judith berusia 5 tahun, bakatnya dikesan oleh kru kamera yang melakukan penggambaran komersial ketika Judith dan keluarganya sedang beriadah di situ. Peranan pertamanya dalam bidang lakonan adalah melalui Fatal Vision dengan memegang watak sebagai Kimberley Mcdonald.
Berdasarkan sinopsis cerita Fatal Vision mengenai seorang lelaki telah membunuh anak dan isterinya. Kisah tersebut seolah-olah sama seperti apa yang akan terjadi kepada Judith dan ibunya. Judith kemudian mengorak langkah sehingga berjaya muncul lebih daripada 70 iklan selain menjadi tetamu di kaca televisyen termasuklah Campbell’s Tomato Soup, Rocky Road Cereal, Mcdonald’s and Jif Peanut Butter. Bukan itu sahaja, Judith juga ditawarkan untuk menjadi pelakon suara bagi filem animasi kanak-kanak antaranya The Land Before Time dan All Dogs Go To Heaven. Selain itu, Judith juga telah muncul dalam beberapa filem seperti There Were Times, Dear, Father’s Day, Punky Brewster, Jaws: the Revenge dan banyak lagi.
Disebabkan memiliki tubuh badan yang kecil, Judith sentiasa diberi watak sebagai kanak-kanak yang di bawah usianya sebenar. Bayaran anak kecil ini dalam televisyen dan komersial telah meningkat dan dianggarkan menerima hampir USD100,000 setahun. Disebabkan itu, keluarga Judith akhirnya berjaya keluar daripada kehidupan yang agak susah sehingga mampu membeli sebuah rumah di West Hills, Los Angeles.
Kesengsaraan Judith dan Maria
Tetapi, siapa sangka di sebalik nama hebat Judith Barsi terselit jalan kehidupan yang sangat tragis. Selepas kejayaan Judith, Jozsef mula berasa tertekan untuk bekerja dengan lebih keras dan dia kembali meminum arak. Malah, Jozsef juga pernah ditahan oleh pihak polis sebanyak 3 kali kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk. Dia kemudiannya melepaskan kemarahannya kepada Judith dan Maria. Bukan itu sahaja, Jozsef pernah mengugut untuk membunuh dirinya, anak dan isteri. Pada tahun 1986, Maria telah membuat laporan polis dan mendakwa Jozsef melakukan keganasan terhadap dirinya. Tetapi pihak polis tidak menemui sebarang bukti atau kecederaan yang menunjukkan Jozsef melakukan keganasan seperti yang didakwa. Oleh itu, Maria tidak mengambil tindakan terhadap suaminya itu.
Dari hari ke hari, sikap panas baran Joszef semakin menjadi-jadi. Dia menunjukkan kepada Maria gasolin yang disimpannya dan mengugut akan membakar rumah berkenaan sekiranya Maria dan Judith cuba meninggalkan rumah. Selain itu, Jozsef juga sentiasa mengugut untuk mengelar leher dan membakar anak dan isterinya itu hidup-hidup. Pada suatu hari ketika mereka sekeluarga mengadakan satu majlis, Jozsef kelihatan kurang senang dengan pujian dan perhatian yang diberikan oleh para tetamu terhadap Judith. Lebih mengejutkan apabila semasa Judith meminta diri untuk pergi ke dapur, Jozsef telah mengekorinya dan menarik rambut Judith sebelum melemparkan anak kecil itu ke lantai.
Pada Februari 1987, Judith telah berjaya memegang watak sokongan dalam satu filem Hollywood. Oleh itu, Jozsef mengetahui bahawa isteri dan anaknya itu akan terbang ke Bahamas untuk penggambaran filem berkenaan. Ketika Judith mengemas pakaiannya, Jozsef telah masuk ke dalam bilik berkenaan dan menutup pintu. Dia kemudian mengeluarkan pisau dan meletakkan pada leher Judith. Pada ketika itu, dia mengugut Judith sekiranya anak itu dan ibunya tidak pulang selepas penggambaran, maka dia akan memotong leher Judith. Mereka kemudian kembali ke rumah tersebut. Judith telah bersekolah di Sekolah Rendah Nevada Evenue. Walaupun kehidupan Maria dan Judith sengsara kerana Jozsef, tetapi sebagai ibu, Maria mahukan alam persekolahan anaknya itu normal seperti kanak-kanak lain.
Judith mula tunjuk sikap aneh
Jozsef juga dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Maria kemudian bernekad untuk memfailkan penceraian, malah jiran tetangga yang mengetahui situasi Maria turut menawarkan bantuan mengeluarkan kedua beranak ini daripada rumah tersebut. Tidak kurang juga ada jiran yang menawarkan Maria dan Judith untuk tinggal di rumah mereka tetapi Maria menolak. Pada bulan Mei 1988, Maria telah menyewa satu apartment lain sebagai tempat perlindungan di siang hari. Pada ketika ini, Judith telah menunjukkan perwatakan yang aneh. Untuk mengatasi perasaan tertekan dan takut, Judith bertindak mencabut bulu matanya dan misai kucing.
Tetapi ketika di sekolah, dia masih tersenyum dan menyembunyikan kesengsaraan yang dialaminya itu. Ketika usia Judith semakin membesar, dia mula menceritakan apa yang terjadi di rumah kepada kawan-kawannya sehingga pada suatu hari, dia memberitahu bahawa bapanya, Jozsef telah membaling periuk dan kuali ke arahnya. Sikap Judith dari seorang kanak-kanak periang telah bertukar menjadi seorang yang sangat pendiam dan suka menyendiri. Pada suatu hari ketika Judith menjalani uji bakat nyanyian, dia secara tiba-tiba telah menangis dan meraung. Judith dibawa berjumpa dengan pakar psikologi panak-kanak dan pakar memaklumkan anak kecil itu menghidapi penderaan fizikal dan emosi yang sangat teruk.
Mereka kemudian melaporkan perkara itu kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak. Mereka menjalankan siasatan di rumah keluarga Judith. Tetapi lain pula yang jadinya apabila Maria memberitahu pihak Perlindungan Kanak-Kanak bahawa dia akan memfailkan penceraian tehadap Jozsef dan membesarkan Judith sendirian di apartment yang disewanya di Panorama City. Mereka akhirnya akur dan menyerahkan kembali Judith ke pangkuan ibunya. Maria kemudian membawa kembali Judith ke rumah mereka yang didiami Jozsef dengan harapan segalanya akan berakhir.
Jozsef ugut nak bunuh
Pada Julai 1988, tanpa pengetahuan Jozsef, Maria mula mengemas barang-barangya dan memasukkan ke dalam kereta untuk dipindahkan ke apartment Panorama City. Tetapi malangnya ketika sampai di apartment tersebut, tanpa Maria sedari, Jozsef telah mengekorinya ke apartmen sewanya di Panorama City. Apabila ditanya, Maria terpaksa menipu Jozsef dengan memberitahu dia sedang menolong kawannya yang pindah rumah dan Jozsef mempercayainya. Namun tidak lama selepas itu, Maria terfikir, sekiranya dia dan Jozsef bercerai bagaimana dengan segala asetnya di rumah tersebut. Maria enggan pindah kerana sayang akan barang-barang di dalam rumah itu telah menukar perancangannya.
Dia mula menjalankan misinya untuk menghalau Jozsef dari rumah tersebut. Maria tidak mengemas rumah dan membiarkan rumah tersebut dalam keadaan kotor dengan harapan Jozsef akan keluar dan meninggalkan mereka. Jozsef juga telah memberitahu rakannya, Peter Kevlin bahawa dia akan membunuh isteri dan anaknya itu. Tetapi rakannya menganggap itu hanya sekadar percakapan dan tidak sangka Jozsef benar-benar melakukannya.
Malam pembunuhan Judith dan Maria
Judith Barsi kali terakhir dilihat oleh jiran tetangga pada waktu pagi 25 Julai 1988. Ketika itu Judith sedang menaiki basikalnya di kawasan perumahannya. Pada malam kejadian, ketika Maria dan Judith sedang nyenyak tidur di rumah, Jozsef telah mengeluarkan pistol dari dalam almari dan menuju ke bilik Judith. Dia telah menembak tepat di kepala Judith dan mencari Maria yang pada ketika itu sedang menyorok selepas mendengar bunyi tembakan. Tetapi sayangnya, Jozsef telah menemui Maria dan menembaknya berkali-kali hingga maut.
Menurut laporan, Jozsef telah menghabiskan 2 hari berikutnya di dalam rumah tersebut bersama-sama mayat anak dan isterinya. Agen Judith iaitu Ruth Hansen ada menghubungi kediaman tersebut untuk bertanya mengenai sesi rakaman yang sepatutnya dihadiri Judith. Kemudian Jozsef menjawab panggilan itu dan memberitahu ada sebuah kereta hitam telah membawa Maria dan Judith keluar. Jozsef turut memaklumkan dia telah berpindah dari rumah tersebut dan kini ingin mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Maria dan Judith.
Pada 27 Julai 1988, Jozsef berusia 55 tahun telah menuang gasolin kepada mayat Judith yang berada di atas katil dan membakar rumah tersebut. Dia kemudian pergi ke garaj dan menembak kepalanya sendiri dengan sepucuk pistol. Seorang jiran yang sedang menyiram pokok pada ketika itu terdengar bunyi tembakan dan melihat asap datangya dari rumah Maria, dia segera melaporkan kepada pihak polis. Pihak polis dan ahli bomba berjaya memadamkan api dan memasuki rumah terbabit.
Mereka akhirnya menemui mayat Maria yang berusia 48 tahun itu di hujung lorong rumah dan mayat Judith Barsi berusia 10 tahun di atas katil. Sementara mayat Jozsef berada di garaj. Pada 9 Ogos 1988, kedua-dua Judith dan Maria disemadikan di Forest Lawn Memorial Park, yang terletak di Los Angeles.