berita

Dijanjikan Barang Kemas, Kasut & Beg Tangan. Wanita Ini Rugi Hampir RM131 Ribu

July 23rd, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Dunia hari ini terlalu banyak kes penipuan melibatkan urusan jual beli melalui platform teknologi media sosial. Antara taktik yang diguna mereka ialah melalui panggilan telefon, urusan jual beli dalam talian dan peraduan cepat kaya.

Malang tidak berbau apabila seorang wanita berusia 39 tahun menyedari dirinya terpedaya dengan pujuk rayu dan pemberian hadiah mewah dari kenalan di Facebook. Dia kerugian sebanyak RM131,630 selepas wang simpanan diserahkan kepada sindiket penipuan Love Scam.

Dijanjikan hadiah

Menurut Metro, mangsa menyedari selepas dia tidak menerima hadiah mewah seperti yang dijanjikan kenalan di Facebook itu walaupun sudah memindahkan duit ke akaun yang diberikan. Mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian bermula pada Januari awal tahun apabila mangsa berkenalan dengan kenalan lelaki di FB dengan memperkenalkan diri sebagai warganegara Arab dan tinggal di UK.

Suspek berkenaan juga mendakwa dia menjalankan perniagan tekstil di UK. Sepanjang perkenalan berkenaan, suspek menyatakan mahu memberi hadiah barang kemas, cincin, kasut, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan.

Lelaki itu mendakwa akan menghantar barangan berkenaan. Pada Februari lalu, mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuat pembayaran kepada pihak syarikat kurier bagi caj penghantaran barangan berkenan berjumlah RM1,450.

Superintendan Mohd Wazir berkata lagi mangsa kemudian membayar caj berkenaan dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek di bank.

Sudah mengesan nama pemilik tujuh akaun

Sehingga bulan lalu, mangsa sudah membuat beberapa kali transaksi melalui mesin deposit tunai ke dalam tujuh akaun yang berlainan yang diberikan oleh suspek dengan alasan kos keselamatan penghantaran barangan berkenaan. Semua transaksi berkenaan dibuat di Maran. Jumlah anggaran semua transaksi sehingga hari terakhir pindahan wang dilakukan iaitu pada 7 Jun lalu adalah RM131,630.

Malangnya, mangsa sekali lagi diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi RM6,000 bagi tempahan kenderaan van keselamatan dan caj-caj lain, tetapi dia tidak berbuat sedemikian selepas menyedari ditipu.

Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan pihak kami juga sudah berjaya mengesan nama pemilik tujuh akaun yang digunakan oleh mangsa untuk memindahkan wang berkenaan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×