berita

Dikecam Sebab Dukung Wanita Bertudung, Zul Ariffin Hanya Jalankan Tugas – ‘Ini Adalah Dunia Bisnes, Publisiti Tetap Publisiti’

January 15th, 2022 | by Zulaikha
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini, nama pelakon kacak Zul Ariffin menjadi bualan ramai selepas aksinya mendukung seorang wanita dalam sebuah video promosi produk bengkung tular dalam media sosial.

Sama macam dalam drama

Menjawab isu panas itu, Zul, 36, menjelaskan adegan mendukung itu tidak dirancang sama sekali. Ujarnya lagi, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkata adegan seperti itu tidak patut diperbesarkan kerana dia hanya menjalankan peranan sebagai duta bagi produk tersebut.

Idea untuk melakonkan aksi pegang tangan, dukung tersebut berlaku secara spontan. Sebenarnya kami risau juga mengenainya tetapi selepas ditonton semula, nampak okey dan kami gunakan saja.

Aksi dukung dalam video promosi tersebut sama juga seperti apa yang saya lakukan dalam mana-mana drama. Saya dilantik sebagai duta produk tersebut kemudian saya jalankan tugas saya seperti yang sepatutnya.

Kami tak rancang pun sebenarnya aksi-aksi tersebut. Babak tersebut juga tak sepatutnya menjadi isu sebab itu sebahagian daripada kerja saya.

Zul berkata demikian ketika majlis pelantikannya sebagai duta bengkung keluaran jenama Superwoman di Concorde Hotel, Shah Alam semalam.

Telan semua kritikan

Sudah lali dengan kecaman netizen, pelakon filem Sangkar ini menyatakan dia sudah cukup faham dengan permainan dunia hiburan.

Mengenai kritikan pula, perkara tersebut seperti sarapan pagi, saya telan saja semuanya. Setakat ini, aksi tersebut saya pandang hanyalah dari sebuah video pendek dan tidak lebih daripada itu.

Apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mempromosikan kelebihan produk tersebut kepada umum. Ini adalah dunia bisnes, publisiti tetap publisiti.

Bagi saya, jika perkara tersebut dilihat dari sudut positif, maka baiklah mesejnya dan sekiranya negatif, jadi buruklah isinya.

Pada awal Januari lalu, aksi mesra Pelakon Terbaik Filem Festival Filem Malaysia 31 (FFM31) mendukung dan memegang tangan Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) produk bengkung iaitu Bie Farah Aziz menerima kecaman hebat daripada netizen.

Video yang dimuat naik di akaun Instagram Zul itu sekaligus membuat rata-rata peminat terkejut kerana menganggap iklan tersebut tidak setaraf dengan aktor itu yang mempunyai kelas tersendiri.

SKIP THIS AD ×