Sekadar gambar hiasan
Seorang wanita yang merupakan mangsa scam pekerjaan berkongsi pengalaman hitam apabila dia dirogol dan dipukul oleh beberapa individu yang kononnya menawarkan pekerjaan dengan gaji belasan ribu.
Mangsa scam pekerjaan
Sekadar gambar hiasan
Mangsa yang dikenali sebagai Lina (bukan nama sebenar) berkongsi detik hitam ini menerusi program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk ‘Nyawa Jadi Taruhan’. Menurut Lina, dia nekad menerima pekerjaan yang ditawarkan selepas diberitahu berkaitan gaji yang mencecah belasan ribu sebulan selain faedah yang menarik.
Dulu saya pernah bekerja di Singapura tetapi diberhentikan akibat pandemik Covid-19. Saya cuba cari kerja lain dan waktu itu memang susah sehingga saya putuskan untuk balik ke Malaysia. Kos penerbangan saya, visa, penginapan semua ditanggung.
Selepas berjaya dalam proses temu duga, dia telah diarahkan untuk pergi ke sebuah negara dan setibanya di sana, Lina dibawa ke satu bangunan besar. Lebih mencurigakan apabila dia telah dipisahkan oleh rakan-rakan yang lain. Dia kemudian dikerah membuat kerja dan langsung tidak diberi waktu rehat sehinggakan untuk pergi ke tandas pun sukar.
Saya diajar cara untuk lakukan pemindahan duit dan selepas itu saya kena pindahkan duit dari akaun Malaysia ke negara lain. Kalau tidak akaun bank tersebut akan disekat.
‘Diseksa, dipukul dengan besi panas, dirogol’
Sekadar gambar hiasan
Pada awalnya, Lina bercadang mahu meninggalkan pekerjaan tersebut namun bimbang kerana setiap pergerakannya diperhati dan dikawal. Tidak tahan dengan layanan yang diterima, Lina akhirnya nekad melarikan diri tetapi tindakan itu dikesan oleh pihak tersebut.
Akibatnya, saya diletakkan di dalam bilik gelap yang dipenuhi tikus selama dua hari selain hanya diberikan nasi serta kuah sahaja. Saya diberikan amaran supaya tidak melakukannya lagi.
Lina sekali lagi mencuba nasib dengan meminta pertolongan seorang individu yang dipercayainya tetapi siapa sangka, ternyata individu terbabit merupakan pengintip orang atasan.
Saya diseksa, dipukul dengan besi panas selain dirogol. Ketika itu saya rasakan peluang untuk hidup tipis. Mereka kata kalau saya keluar dari bilik itu, saya perlu bayar RM50,000. Mana saya ada duit. Sehinggalah suatu malam, saya keluar senyap-senyap dan nampak kawan.
Selepas 37 hari terperangkap, Lina berjaya diselamatkan oleh tentera. Lina meluahkan rasa syukur selain menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan ajakan orang.
Sumber: Sinar Harian