berita

Dipercayai Dibunuh Sebelum Dicampak Tepi Jalan, Mayat Wanita India Ditemui Penuh Kesan Luka

June 1st, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Seorang wanita India yang dikenali sebagai Settu Ezhilarasan, ditemui mati di bahu jalan berhampiran Jalan Sungai Pinang, Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Menerusi laporan Harian Metro, terdapat kesan luka di dada dan belakang tubuh mayat wanita berusia 21 tahun itu.

Dijumpai orang awam

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli  memberitahu bahawa mayat tersebut dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah pada Sabtu yang lalu.

Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menjumpai satu topi keselamatan manakala tali keselamatan terlilit di badan mangsa. Tiga kesan cap jari turut berjaya ditimbulkan pada topi keselamatan itu. Turut dijumpai dalam jarak 200 meter dari mayat mangsa adalah dua kesan darah, dua pasang sarung tangan plastik, satu jaket keselamatan dan satu baldi mengandungi dua plastik berisi darah.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, pihak polis mendapati terdapat kesan luka melintang dipercayai senjata tajam di bahagian dada sebelah kanan dan belakang badan mangsa.

Meninggal dunia di tempat kejadian

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat lain dan dibawa ke lokasi kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda berdasar kesan tayar ditemui berhampiran mangsa dan juga baldi yang digunakan untuk menadah darah mangsa.

Hasil bedah siasat yang dibuat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga mendapati mangsa mengalami kecederaan luka selain tusukan disyaki ‘forklift’. Setakat ini, pihak polis sedang berusaha untuk mengesan lokasi kejadian yang sebenar dan butir-butir kejadian sedang giat dijalankan. Pihak polis juga belum dapat memastika sama ada kes ini adalah kes bunuh atau kemalangan.

Sumber: Harian Metro