Syarikat Walt Disney akhirnya mengumumkan perkhidmatan penstriman yang dinanti-nantikan Disney+ Hotstar bakal dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun 2021. Penonton kini mempunyai satu lagi cara untuk menikmati kandungan menarik daripada jenama-jenama hiburan yang paling ikonik di bawah Syarikat Walt Disney, termasuk Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, dan National Geographic serendah RM54.90 selama 3 bulan.
Hanya yang terbaik
Pelanggan berpeluang menikmati Disney + Originals, seperti The Mandalorian dan High School Musical: The Musical: The Series, serta WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan Loki daripada Marvel Studios. Barisan rancangan ini merupakan tambahan kepada siaran “blockbuster” dan barisan kandungan terbaharu, termasuk Avengers: Endgame, Avengers: Infinity War dan Black Panther daripada Marvel Studios; adaptasi aksi langsung Disney – Mulan, Maleficent: Mistress of Evil, The Lion King, Aladdin dan Beauty and the Beast; animasi-animasi Disney popular – Frozen 1 dan 2, Moana dan Big Hero 6, serta Soul, Coco, The Incredibles 2 dan Finding Dory daripada Disney dan Pixar.
Selain itu, turut disajikan adalah katalog siri dan filem hiburan umum yang hebat seperti Nomadland, The Walking Dead, Jojo Rabbit, Criminal Minds, Fresh off the Boat, The Simpsons, Grey’s Anatomy, 9-1-1 dan banyak lagi.
Filem, drama tempatan
Disney+ Hotstar telah memeterai satu siri perjanjian beberapa tahun dengan studio-studio tanah air yang terkemuka seperti Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les’ Copaque Production, Red Films dan sebagainya.
Perjanjian berkenaan bermaksud Disney+ Hotstar akan menjadi platform eksklusif bagi beberapa filem “blockbuster” Malaysia yang paling dinanti-nantikan – yang akan melangkau pawagam dan dilancarkan terus melalui perkhidmatan penstriman seperti filem J2: J Retribusi, iaitu sekuel “blockbuster” J Revolusi penuh aksi yang dibintangi Zul Ariffin, Ashraf Sinclair dan Amelia Henderson, Zombitopia yang dibintangi Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani, serta Ada Hantu yang dibintangi Hairul Azreen. Ejen Ali The Movie 2 juga akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar selepas tayangan perdana di pawagam.
Di samping itu, siri drama masa perdana tempatan daripada TV3 seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr. Bodyguard akan ditayangkan terlebih dahulu di Disney+ Hotstar pada pukul 7 pagi pada hari yang sama dengan siaran langsungnya. Dengan ini, penggemar drama dapat menonton siri tempatan kegemaran mereka menerusi platform ini sehingga 15 jam sebelum siaran di platform lain.
Kandungan untuk semua
Selain itu, beberapa filem Malaysia yang paling ikonik dan terunggul, termasuk J Revolusi, Tombiruo, KL Special Force, Ejen Ali The Movie, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Munafik, Istanbul Aku Datang!, francais filem Rock (Rock, Rock Oo!, Rock Bro! dan Rock 4: Rockers Never Dai), Talentime, Mukhsin, The Kid From The Big Apple 2, Vedigundu Pasangge, Evolusi KL Drift 1 & 2, KL Gangster 1 & 2, Gol & Gincu 1 & 2, Guang, Redha and Roh, akan disajikan menerusi Disney+ Hotstar.
Bagi penonton yang gemar menonton cerita bersiri terus menerus dalam satu masa, terdapat siri-siri yang menampilkan barisan bintang tersohor seperti Wifi Sebelah Rumah (menampilkan Zul Ariffin dan Ruhainies) dan Semanis Senyumanmu (menampilkan Daiyan Trisha dan Aiman Hakim Ridza).
Kanak-kanak dan seisi keluarga dapat menikmati siri hebat seperti Ejen Ali, lebih 10 musim Upin & Ipin, Club Mickey Mouse, T.O.T.S, Alif & Sofia, Wizards of Warna Walk dan Spider-Man daripada Marvel, manakala peminat kandungan Asia dapat menantikan filem dan siri popular dari seluruh rantau ini, seperti Infernal Affairs, Ip Man 4 The Finale, The Deer and the Cauldron, The Legend of Haolan, Pandian Stores and Vishwaroopam 2, serta kandungan eksklusif seperti The Silent Forest, Dil Bechara dan Live Telecast.