Banyak juga halangan yang terpaksa ditempuhi oleh bakal pengantin ini ya? Jika semalam kami memaklumkan bahawa pengarah muda ini diserang demam, hari ini kami menerima perkhabaran bahawa Syamsul Yusof disyaki menghidap demam denggi.
Artikel Berkaitan: Bakal Bergelar Suami 4 Hari Lagi, Syamsul Yusof Sakit?
Menerusi laporan mStar Online, Syamsul yang bakal melangsungkan pernikahan pada 8 Mac ini telah ditahan di Pusat Perubatan Gleneagles semenjak pagi semalam.
Syamsul Yusof sempat berseloroh mahu bernikah dengan Puteri Sarah Liyana di hospital
Menurut ibunya, Datin Patimah Ismail, Syamsul telah mengadu sakit kepala dan juga mengalami gejala demam yang teruk sejak beberapa hari lalu.
“Pada mulanya saya ingat hanya demam biasa sahaja, tapi bila sudah dua hari demamnya semakin teruk, saya terus bawa dia ke hospital dan doktor syak ia mungkin demam denggi.
Syamsul juga ada berseloroh untuk bernikah di hospital jika keadaan belum sihat menjelang hari pernikahannya nanti.”
Bagaimanapun, doktor masih belum membuat sebarang pengesahan mengenai perkara ini memandangkan ujian darah baru sahaja dilakukan.
“Setakat ini doktor masih belum buat pengesahan rasmi tentang penyakit ini dan baru sahaja ambil darah untuk pemeriksaan lanjut.”
Dalam pada itu, Datin Patimah turut meminta agar semua peminat dapat mendoakan kesihatan anaknya itu agar kembali pulih secepat mungkin.