Sekadar gambar hiasan
Di Cape Town, Afrika Selatan, seorang wanita dipercayai telah melahirkan 10 bayi kembar secara serentak. Menerusi laporan The Mirror, wanita berusia 37 tahun itu dipercayai menjalani proses bersalin di sebuah hospital di Bandar Pretoria pada bulan ini.
Kandungan usia 29 minggu
Wanita yang dikenali sebagai Gosiame Thamara Sithole ini memberitahu bahawa dia telah melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga bayi perempuan menerusi pembedahan ketika kandungannya berusia 29 minggu. Menurut laporan The Mirror, Gosiame bakal memadam rekod yang pernah dicatat Halima Cisse dari Mali yang melahirkan sembilan bayi di sebuah hospital di Maghribi pada Mei lalu. Namun begitu, laporan mengenai hal tersebut masih belum disahkan oleh doktor atau Guinness World Records.
Berdepan pelbagai kesukaran
Sekadar gambar hiasan
Gosiame yang bekerja sebagai pengurus stor sudah memiliki anak kembar dua yang kini berusia enam tahun. Wanita ini turut berkongsi beberapa kesukaran dan kesakitan yang dialami olehnya semasa mengandung kali ini. Ujar Gosiame, dia sering sakit pada bahagian kaki dan pedih ulu hati. Malah, dia juga merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk mengandung.
Menurut suami Gosiame iaitu Teboho, kesemua bayi yang dilahirkan itu diletakkan di dalam inkubator sebelum dibenarkan untuk pulang. Sebagai suami, dia berasa gembira dan beremosi dengan kelahiran cahaya mata ini. Sebelum ini, doktor menjangka isterinya akan melahirkan enam bayi, namun jumlah itu meningkat kepada lapan selepas menjalani satu imbasan. Semasa bersalin, doktor terkejut apabila mendapati ada dua lagi bayi di dalam rahim isterinya itu.
Sumber: The Mirror