
Kumpulan Dolla akhirnya membuka mulut mengenai pembatalan Konsert Good Girls Gone Bad in Concert yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember depan di Idea Live Arena.
Artikel Berkaitan: Konsert Dolla Batal, Penganjur Akui Kekangan Masa & Wang Tiket Dipulangkan
‘Kami mohon maaf’

Tidak mahu membuat peminat terus berteka-teki, Dolla menjelaskan pembatalan konsert terpaksa dilakukan selepas penganjur gagal menyiapkan beberapa permit dan kelulusan penting pada waktu yang ditetapkan.
Menurut salah seorang trio tersebut iaitu Sabronzo, keputusan tersebut dibuat dengan hati berat memandangkan seluruh kru telah bertungkus-lumus sejak berbulan-bulan lalu bagi merealisasikan konsert berkenaan.
Kami mohon maaf setulus hati kepada semua iDolla. Ramai yang menunggu konsert ini, kami sendiri pun sangat teruja.
Kami tak mahu sampai konsert dibatalkan dua atau tiga hari sebelum berlangsung, itu lebih memalukan. Jadi walaupun pahit, keputusan ini terpaksa kami terima.
Dalam pada itu, Dolla turut memberitahu persiapan konsert sebenarnya sudah hampir siap seratus peratus merangkumi visual pentas, koreografi, susunan muzik serta sesi latihan intensif yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
Sebagai menghargai sokongan peminat, kumpulan itu turut mengumumkan sesi bertemu peminat (meet & greet) pada tarikh sama, selain berjanji akan kembali dengan sebuah konsert yang lebih besar pada tahun hadapan.
Kami dah curahkan jiwa dan tenaga untuk memastikan pentas itu jadi yang terbaik, tapi keadaan tidak mengizinkan.
Kami rindu nak jumpa peminat. Tahun depan kami akan kembali dengan persembahan besar yang betul-betul berbaloi ditunggu.
Jangan risau, penganjur akan memulangkan semua bayaran secepat mungkin dan kami akan pastikan prosesnya berjalan lancar.
Terdahulu, penganjur konsert iaitu Sah Entertainment bersama Universal Music memaklumkan pihak mereka terpaksa membatalkan acara itu selepas menilai semula keseluruhan persiapan.
Pengarah Sah Entertainment, Sufie Rashid, berkata keputusan itu dibuat setelah melihat beberapa kekangan, terutamanya dari aspek teknikal, keselamatan dan tempoh persediaan yang semakin suntuk.
Sumber: Instagram







![[VIDEO] Khairul Aming Bagi ‘Tips’ Kurus, Mohon Jangan Stres ‘Cut’ Makan – ‘Ambil Yang Kita Boleh Konsisten’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/KA-25.jpg)
