Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui dirinya tidak yakin akan menjadi penghuni syurga, meskipun telah merangka pelan damai Gaza termasuk cadangan gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tebusan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] 23 Pejuang Global Sumud Flotilla Selamat Tiba Di Kuala Lumpur.. 2,000 Sambut Kepulangan Dengan Laungan ‘Bebas Gaza’

Tak yakin masuk syurga

Kenyataan itu menyusul ketika menjawab soalan daripada seorang wartawan yang merujuk kepada kenyataan Trump sebelum ini mengenai usaha mendamaikan Rusia dan Ukraine mungkin membolehkannya masuk ke syurga.

Namun, Presiden AS itu menjawab dengan nada bersahaja mengatakan dia tidak merasakan ada apa-apa yang mampu membawanya ke syurga.

Saya tidak fikir ada sesuatu yang boleh membawa saya ke syurga. Mungkin saya bukan orang yang akan ke syurga.

Mungkin saya sudah berada di syurga sekarang ini, ketika kita terbang dengan Air Force One.

Terdahulu, Trump tiba di Sharm el-Sheikh di Mesir bagi menyertai beberapa pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.

Sidang kemuncak antarabangsa itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah, dalam usaha merangka pelan damai bersepadu selepas dua tahun konflik di Gaza.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu turut merangkumi pembebasan tebusan serta tahanan Palestin yang menjadi antara agenda utama sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak itu dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha diplomatik global untuk mengakhiri keganasan dan membina semula keamanan di rantau berkenaan.

Sumber: Awani