Penerbit dan pengarah, Erma Fatima menegaskan dia tidak mengetahui tentang perselisihan faham yang terjadi antara pelakon, Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha ketika penggambaran drama Akulah Balqis suatu ketika dahulu.

Artikel Berkaitan: Erma Fatima Bidas Dituduh Buat Cerita Mengarut, Minta Netizen Jadi ‘Funder’ – ‘Saya Memang Teringin Nak Buat Macam The Voice Of Hind Rajab’

Tidak tahu punca

Erma, 58, berkata, sepanjang berada di lokasi penggambaran, fokus utamanya hanya tertumpu kepada mutu lakonan barisan pelakon dan bukan perkara yang berlaku di sebalik tabir.

Saya memang tidak tahu dari mana perkara ini tercetus. Setahu saya, tiada apa-apa yang berlaku di set ketika itu dan drama Akulah Balqis juga bukan puncanya.

Apabila saya mengarah, saya hanya berada di hadapan monitor. Apa yang saya tahu, mereka masuk set dan melaksanakan watak masing-masing. Apa yang berlaku di belakang tabir, saya memang tidak tahu.

Erma berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Viu berjudul Walid yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Erma mengakui tidak mengikuti perkembangan tentang polemik antara Puteri Balqis dan Mia Sara yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Saya sudah lama tidak berada di Kuala Lumpur dan baru pulang malam tadi. Jadi, memang saya tidak tahu mengenai isu Puteri Balqis dan Mia Sara.

Dalam pada itu, Erma menyifatkan tindakan meluahkan perasaan di media sosial sebagai satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan pada masa kini.

Saya tak rasa hanya golongan muda sahaja yang berbuat demikian, orang yang lebih berusia pun sama. Dunia sekarang ialah dunia digital dan media sosial ibarat diari untuk semua orang.

Siapa yang mahu menulis atau berkongsi sesuatu itu adalah hak masing-masing, bergantung kepada pemikiran sendiri sama ada mereka rasa perkara itu wajar dikongsikan atau tidak.

Semuanya bergantung kepada prinsip individu, sama ada mahu berkongsi semua perkara tanpa batas atau sebaliknya.

Terdahulu, Puteri Balqis secara tiba-tiba menyebut nama Mia Sara dalam satu hantaran di media sosialnya dan mendakwa aktres tersebut pernah memburukkan ibunya di hadapan orang ramai.

Dia turut mendakwa Mia menangis ketika ditemu bual media sebagai usaha meraih simpati serta menutup sisi buruk dirinya. Bagaimanapun, Mia Sara memilih untuk berdiam diri meskipun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya.