berita

Drama Mana Bakal Dinobat Drama Terbaik Anugerah Skrin 2019? Ini Senarai Penuh Kategori Dipertandingkan

October 25th, 2019 | by Shahira
Shout Out!

Anugerah paling berprestij, Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dan mengangkat karya terbaik dalam terbitan TV dan filem kini sudah sampai ke kemuncaknya. ASK 2019 bakal berlangsung pada 1 November 2019 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 9.00 malam di TV3.

ASK edisi 2019 kali ini bakal mempertaruhkan 30 kategori yang merangkumi 14 kategori drama, 7 kategori filem dan 9 kategori bukan drama dan teknikal. Manakala 3 kategori baharu akan dipertandingkan di bawah kategori drama iaitu kategori Drama Rantaian Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.

Senarai anugerah ASK 2019

Sebanyak 23 kategori yang akan diumumkan pemenangnya pada malam Anugerah Skrin 2019 antaranya ialah kategori Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Selain itu turut dipertandingkan ialah anugerah bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Pelakon Komedi Terbaik, Drama Komedi Terbaik, Videografi Drama Terbaik, Rancangan Majalah Terbaik dan Rancangan Realiti Terbaik.

Seterusnya ialah kategori baharu di bawah drama ialah Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Melayu), Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Cina), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Melayu/Cina) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Melayu/Cina).

Tidak ketinggalan juga bagi kategori filem yang bakal dipertandingkan pada malam Anugerah Skrin 2019 ialah Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik Filem, Pelakon Wanita Terbaik Filem, Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Senarai drama dan filem tercalon

Tahun ini, drama-drama yang tercalon dalam kategori Drama Terbaik Anugerah Skrin memaparkan jalan cerita yang mantap dan sarat dengan mesej-mesej yang boleh dijadikan iktibar bagi para penonton.

Sebanyak 17 drama bakal dinilai antaranya ialah Neraka Kasih Maisarah, Bebaskan Anak Kita, Titi Kayu, Restu Ayah, Terima Kasih Ibu, Remuk, Samad Tedung, Wakaf Dosa, Batik Zakiah, Sirna, Batin Aram-Aram, Di Sisi, Detektif Kemon, Dia Tidak Berdosa, Lalang, Terlingkah dan Sesekali Sesekali.

https://www.facebook.com/officialdramasangat/videos/2465322667122555/

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik (Bahasa Melayu) yang tercalon pada kali ini adalah Leftenan Zana, Kamar Kamariah, Nur 2, Pia, Aku Yang Kau Tinggalkan dan Sara Kirana. Manakala, bagi Drama Rantaian Terbaik (Bahasa Cina) pula ialah The Promise, Sweet Dilicacy, My Sensei Nyonya dan Super Mischevous MIL.

Selain itu, bagi kategori Filem Terbaik, karya yang dicalonkan ialah Paskal, Gol & Gincu Vol 2, One Two Jaga, Polis Evo 2, Hantu Kak Limah, Operasi X, Misteri Delaila, Munafik 2, Tikin, Tiada Tajuk dan Langsuir.

7 kategori telah diumumkan

Walau bagaimanapun, sebanyak 7 pemenang kategori bukan drama dan teknikal telah pun diumumkan terlebih dahulu. Antaranya ialah Reka Bentuk Set Terbaik (ASK 2018), Montaj Terbaik (Halaqah 2019), Rancangan Dokumentari Terbaik (Majalah 3, Pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-16).

Selain itu anugerah yang turut dimenangi adalah Rancangan Bual Bicara Terbaik (Feel Good Show, Deepavali), Laporan Khas Berita Terbaik (Buletin Utama, Aduan Rakyat Kampung Sampah), Rancangan Hiburan Terbaik (Konsert Minggu Ini: Ratu 2.0) dan Rancangan Anugerah Terbaik (Anugerah Juara Lagu 33).

Trofi kemenangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak.

Jangan lupa saksikan ASK 2019 pada 1 November 2019, jam 9 malam di TV3. Drama manakah akan diangkat sebagai drama terbaik ASK 2019? Menarik untuk disaksikan!

SKIP THIS AD ×