Siapa sangka kunjungan sekumpulan kanak-kanak ke sebuah rumah kononnya untuk beraya bertukar menjadi mimpi ngeri kepada sebuah keluarga selepas sampul berisi duit raya milk mereka lesap.
Lebih sedih lagi, tuan rumah hanya menemui sampul kosong di dalam sebuah bilik air selepas kesemua ‘tetamu’ itu pulang.
‘Tetamu’ tanya macam-macam soalan
Foto: Twitter @MALAYSIAVIRALL
Menerusi ciapan milik @MALAYSIAVIRALL di laman Twitter, tragedi itu berlaku ke atas sebuah keluarga yang tinggal di Bukit Changgang, Kuala Langat, namun tarikh kejadian sebenar tidak dapat dipastikan.
Menurut mangsa, mereka didatangi sekumpulan sembilan remaja berkulit gelap dengan pakaian sedondon berwarna merah pada waktu petang, dan memandangkan ianya musim perayaan, mereka sekeluarga mengalu-alukan ‘tetamu’ itu untuk masuk ke dalam rumah.
Kebetulan ketika itu kakak saya baru sampai dan pada waktu itu kami sibuk menghidangkan air kepada tetamu lain dan pada masa sama budak-budak itu sempat menyelongkar beg tangan.
Mula-mula kami tak perasan, apabila budak itu dah balik tengok-tengok sampul duit raya dah hilang. Kami jumpa sampul-sampul itu di bilik air tapi dah kosong.
Tambahnya lagi, kanak-kanak tersebut juga banyak bertanyakan soalan-soalan seperti rumah tersebut dihuni berapa orang, berapa bilik dan macam-macam soalan lagi.
Datang dari jauh nak ‘beraya’
Jelas mangsa, mereka ada bertanya kepada kanak-kanak itu datang dari mana, dan mereka memberitahu dari Bandar Mahkota dengan menaiki sebuah kereta milik ibu saudara.
Kalau ikutkan jauh juga Bukit Changgang, datang naik kereta mak sedara hantar tapi mak sedara tak masuk cuma tunggu dalam kereta.
Bila fikir balik buat apa sanggup datang dari jauh tak ada sedara mara pun kat sini, tapi datang hantar budak-budak beraya.
Justeru, mangsa menasihatkan penduduk sekitar supaya berhati-hati ketika menerima tetamu terutamanya kumpulan kanak-kanak terbabit supaya mereka tidak menjadi mangsa sepertinya.
Sudah tampil mohon maaf
Tangkap layar siaran langsung Norfatin
Susulan itu, Norfatin dalam satu siaran langsung di akaun Facebook miliknya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah datang ke rumahnya sekali lagi pada Isnin untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku. Menurutnya, kanak-kanak tersebut hadir ke rumahnya ditemani ibu mereka.
Tambahnya lagi, perbuatan mencuri tersebut dilakukan oleh salah seorang daripada sembilan kanak-kanak berkenaan. Dia juga mengambil kesempatan untuk menghantar keluarga tersebut pulang ke rumah mereka.
Mereka ada datang ke rumah minta maaf dan menjelaskan tentang apa yang berlaku, saya juga hantar mereka balik ke rumah selepas itu.
Benda ni pun dah nak ‘settle’ dah, tak nak diperbesarkan dah. Budak-budak ni pun ada yang nak SPM, ada yang nak PT3.
Mereka adalah rakyat Malaysia dan saudara baharu (muallaf), saya maafkan mereka cuma menasihatkan supaya jangan lakukan kesalahan yang sama jika bertandang ke rumah orang lain selepas ini.
Sumber: Twitter @MALAYSIAVIRALL, Facebook Norfatin Mat Tahia